AGENDANASIONAL

MPM hormati langkah batal Sukan Para ASEAN 2020

KUALA LUMPUR, 13 MEI: Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) menyambut baik keputusan Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF) untuk mengadakan mesyuarat Lembaga Pengelola (BoG) bagi mengesahkan status pembatalan temasya Sukan Para ASEAN 2020 di Filipina.

Filipina dijadual menganjurkan Sukan Para ASEAN pada Januari lepas setelah berjaya menjadi tuan rumah bagi Sukan SEA pada Disember lepas, namun ia ditangguhkan beberapa kali sehingga Mei atau Jun sebelum keputusan membatalkannya dibuat susulan impak penularan pandemik Covid-19.

Justeru, Presiden MPM Datuk Seri Megat D Shariman Zaharudin berharap satu keputusan rasmi dapat dicapai sama ada temasya dwitahunan itu dibatalkan sepenuhnya untuk fokus dialihkan kepada persiapan menghadapi edisi 2021 di Vietnam atau diteruskan dengan mencari negara baharu sebagai tuan rumah.

“Walaupun kecewa dengan pengumuman itu sudah tentu kami (MPM) menghormati dan memahami sepenuhnya keputusan tuan rumah Filipina untuk membatalkan penganjuran temasya dwitahunan itu bagi menyalurkan peruntukan dana APG kepada usaha membendung penularan wabak Covid-19 di negara itu.

“Keputusan mesyuarat ini pastinya memberi kesan mendalam terhadap persiapan atlet para negara. Malah, perkara itu diakui dua jaguh para negara, Mohamad Ridzuan Puzi dan Abdul Latif Romly yang diziarahi pihak MPM pada minggu lalu,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan MPM hari ini.

APSF hari ini mengeluarkan kenyataan bahawa satu mesyuarat tergempar Lembaga Pengelola (BoG) akan diadakan untuk membahas, mengesahkan dan menyokong pembatalan temasya itu dan terus menuju kepada penganjuran Sukan Para ASEAN ke-11 pada 2021 yang dijadualkan di Vietnam.

– BERNAMA


Pengarang :