PBTSELANGOR

MPS wajib premis perniagaan guna SELangkah

SHAH ALAM, 9 MEI: Semua premis perniagaan di Majlis Perbandaran Selayang (MPS) diwajibkan untuk melaksanakan penggunaan sistem SELangkah (Selamat Melangkah).

Pihak berkuasa tempatan itu menerusi kenyataan di Facebooknya berkata pelanggan dikehendaki melakukan imbasan kod QR menggunakan sistem SELangkah bagi tujuan pengesanan kontak, jika berlaku kes positif Covid-19.

Menurut MPS, pemilik premis boleh mendaftar di pautan http://www.selangkah.my, cetak dan seterusnya mempamerkan kod QR di pintu masuk atau tempat yang mudah dilihat oleh pelanggan.

“Bersama-sama kita membantu kerajaan membanteras Wabak Covid-19,” katanya.

SELangkah diperkenalkan Kerajaan Selangor menggunakan konsep asas kawalan automatik bagi pendaftaran individu yang memasuki sesuatu premis dengan mudah dan pantas.

Melalui sistem itu pelangggan hanya perlu mengimbas kod QR menggunakan telefon pintar setiap kali masuk ke premis perniagaan, sebelum boleh selamat melangkah ke dalam premis tersebut.

Ia dapat membantu petugas barisan hadapan mencari pelanggan tersebut apabila terdapat individu positif Covid-19 yang melawat premis sama serentak.


Pengarang :