Petugas kesihatan menunjukkan sampel ujian saringan Covid-19 yang dibuat melalui kaedah pandu lalu di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7, Shah Alam pada 20 April lalu. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Mukim Hujung Permatang masuk zon kuning

SHAH ALAM, 3 MEI: Mukim Hujung Permatang di daerah Kuala Selangor memasuki zon kuning apabila merekodkan dua kes aktif hari ini daripada tiga kes keseluruhan, kata pasukan petugas Covid-19 Selangor (STFC).

Dua kes aktif itu antara 216 kes aktif direkodkan di Selangor dengan jumlah kumulatif kes setakat ini adalah 1,529 kes.

“Bagi kebanyakan mukim, bilangan kes kelihatan stabil tanpa perubahan kes aktif yang ketara. Namun pertambahan dua kes di Mukim Hujung Permatang menjadikan status mukim ini berubah ke zon kuning. Semoga kita terus disiplin dan peka,” katanya menerusi Twitter.

Mukim Batu di daerah Gombak masih kekal dalam katogeri zon merah tunggal apabila mencatatkan 81 kes aktif daripada keseluruhan 123 kes susulan pertambahan 10 kes di daerah berkenaan sehingga 12 tengah hari tadi.

Daerah Gombak mencatatkan kes aktif tertinggi dengan 87 walaupun keseluruhan 225 kes berbanding Hulu Langat yang masih merekodkan angka 480 kes keseluruhan dengan 48 kes aktif.

Daerah Petaling ketiga dengan 384 kes diikuti Klang (178), Sepang (71), Hulu Selangor (51), Kuala Selangor (48), Kuala Langat (32) dan 24 kes di Sabak Bernam.

Keseluruhan terdapat 30 mukim berada di zon hijau, 25 mukim zon kuning dan satu zon merah.

Berdasarkan statistik kumulatif terdapat 1,258 individu sembuh dan dibenarkan pulang selain angka kematian kekal 18.

 


Pengarang :