AGENDANASIONAL

MyTrace kesan kontak individu positif Covid-19

SHAH ALAM, 3 MEI: Aplikasi MyTrace yang dibangunkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi bersama pakar tempatan membolehkan kerajaan mengesan kontak kepada individu positif Covid-19.

Menteri kanan (kluster keselamatan) berkata aplikasi menggunakan gelombang ‘Bluetooth’ boleh mengesan individu berhampiran pesakit wabak dengan data tersebut disimpan selama 21 hari dalam telefon bimbit pengguna.

“Pengesanan kontak sangat penting supaya dapat diketahui siapa yang pernah berada berdekatan dengan seseorang yang dikenal pasti positif Covid-19,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata untuk memastikan keberkesanannya, kerajaan menyasarkan sekitar 60 peratus pengguna telefon di seluruh negara memanfaatkannya.

“Sekiranya ada kluster Covid-19 yang baru dikesan, aplikasi MyTrace dapat membantu Kementerian Kesihatan untuk mengesan dan memutuskan jangkitannya secepat mungkin,” katanya yang memaklumkan aplikasi tersebut pelengkap kepada MySejahtera yang dilancarkan sebelum ini.

MyTrace kini boleh dimuat turun melalui Google Play Store bagi peranti jenis Android, manakala versi iOS boleh didapati tidak lama lagi.


Pengarang :