EXCOSELANGOR

Nama, nombor telefon cukup kesan kontak Covid-19

SHAH ALAM, 13 MEI: Perkongsian nama dan nombor telefon bagi memasuki sesebuah premis sudah memadai bagi mengesan kontak jika berlaku kes positif Covid-19, kata EXCO kesihatan.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata pihaknya menerima beberapa aduan orang awam mendakwa terdapat premis dan pusat beli-belah yang mempunyai aplikasi sendiri meminta maklumat lebih daripada yang diperlukan.

“Kita mengesyaki mungkin mereka nak simpan, hendak beri kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) kerana ia perlu disimpan tiga bulan. Kita juga tidak tahu sama ada untuk tujuan pemasaran dan pangkalan data mereka sendiri.

“Sebenarnya, ada nombor telefon dan nama sudah memadai bagi memudahkan mereka dihubungi, tidak perlu nombor kad pengenalan, alamat rumah dan sebagainya kerana itu milik peribadi,” katanya pada sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Beliau berkata, pengguna berhak untuk tidak berkongsi maklumat tambahan yang diminta kerana bimbang ia disalahgunakan pihak tidak bertanggungjawab.

Katanya, pemilik premis dinasihatkan menggunakan warna lain pada aplikasi masing-masing jika tidak menggunakan sistem SELangkah bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pengunjung.

Sebanyak 21,064 premis di seluruh Selangor sudah berdaftar di portal SELangkah sehingga 11 Mei lalu.

SELangkah menggunakan konsep asas kawalan automatik bagi pendaftaran individu yang memasuki sesebuah premis.

Melaluinya, pengunjung hanya perlu mengimbas kod QR menggunakan telefon bimbit dan mendaftar maklumat seperti nama dan nombor telefon.


Pengarang :