PENDAPATRENCANA

Narsisime: Kecelaruan personaliti individu dalam komuniti alaf baharu

Oleh Dr Abu Yazid Abu Bakar
Penulis, Lt Kdr Dr Abu Yazid Abu Bakar TLDM (B) ialah Pensyarah Kanan (Bimbingan dan Kaunseling/Psikologi), Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

KUALA LUMPUR, 6 MEI: Isu kesihatan mental seperti kebimbangan serta kemurungan, yang lazimnya berpunca daripada tekanan yang melampau semakin mengancam bukan sahaja individu di negara maju, malahan juga di negara sedang membangun seperti Malaysia.

Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 mendapati bahawa seorang daripada tiga orang rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas terdedah kepada isu serta permasalahan berkaitan kesihatan mental.

Hal ini berlaku kerana perkembangan arus pembangunan yang pesat meningkatkan lagi tekanan kehidupan dalam aspek ekonomi, sosial, dan kemasyarakatan.

Selain daripada isu serta permasalahan kesihatan mental yang lazim diperkatakan ini, isu kewujudan personaliti narsisisme merupakan permasalahan baru yang dilihat semakin berleluasa dalam masyarakat Malaysia hari ini.

Perkembangan pesat teknologi dan ledakan era media sosial semasa dilihat sebagai pemangkin kepada berkembangnya kecelaruan personaliti ini dalam kalangan masyarakat tempatan di segenap lapisan dan peringkat umur.

Apa yang membimbangkan ialah isu kesihatan mental ini tidak dianggap sebagai masalah kerana ianya sering berlaku dalam keadaan di luar sedar ahli-ahli sesebuah komuniti, namun, impak kepada peningkatan jumlah individu narsisistik dalam masyarakat boleh memusnahkan nilai dan jati diri komuniti dalam jangka masa panjang.

Narsisisme berakar umbi daripada cerita mitos Greek tentang seorang pemuda bernama Narcissus yang jatuh cinta kepada imej dirinya sendiri yang terbayang di atas kolam sehingga menghabiskan sebahagian besar masa hariannya di tepi kolam tersebut, dan akhirnya berubah menjadi sekuntum bunga di kolam tersebut (dinamakan sempena nama beliau).

Berdasarkan cerita mitos ini, persepakatan dalam kalangan ahli psikologi mentakrifkan kecelaruan personaliti narsisisme sebagai kecenderungan seseorang individu untuk menilai diri sendiri secara berlebihan, di mana individu narsisistik dianalogikan sebagai seorang yang taksub atau terlalu mengagumi diri sendiri tanpa sebarang penjelasan yang rasional ataupun logik.

Antara ciri utama seseorang individu yang berhadapan dengan masalah ini adalah rasa kepentingan diri sendiri yang melampau, keperluan untuk menerima perhatian dan disayangi yang keterlaluan, serta ketiadaan perasaan empati kepada orang lain yang ditunjukkan menerusi tingkah laku memperkecil dan mempersenda orang lain secara berlebih-lebihan.

Lazimnya, individu narsisistik akan berasa kecewa apabila tidak diberi layanan yang dirasakan layak untuknya menyebabkan dia berhadapan dengan pelbagai masalah dalam perhubungan peribadi atau profesional.

Dalam erti kata lain, konsep kendiri keterlaluan ini sering menimbulkan permasalahan budaya dan sosial sehinggakan ia dikategorikan sebagai masalah kesihatan mental oleh American Psychiatric Association (APA) dan disenaraikan dalam buku panduan ‘Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders’ (DSM) sejak tahun 1968.

Dianggarkan kecelaruan personaliti narsisisme mengancam satu (1) peratus daripada populasi umum dan dalam konteks Malaysia, lebih 300,000 warga tempatan daripada pelbagai latar belakang kehidupan dianggarkan berpotensi untuk mengalami kecelaruan mental ini tanpa disedari, dan ia terus meningkat kebelakangan ini.

Oleh kerana gejala narsisisme merupakan isu kecelaruan personaliti individu dalam komuniti, ianya hanya boleh dikenal pasti melalui simptom atau tanda-tanda yang bersifat behavioural yang menunjukkan bahawa seseorang individu mula terganggu dengan kewujudan pelbagai tingkah laku, tabiat, atau kelakuan yang pelik dalam kehidupan seharian.

Antaranya adalah perasaan cemburu melampau terhadap orang lain dan dalam masa yang sama percaya orang lain amat cemburukan dirinya, bertingkah laku sombong atau ego yang keterlaluan sehingga memandang rendah terhadap orang lain, tidak boleh mengendalikan kritikan terhadap dirinya dengan rasional serta mengharapkan sentiasa diiktiraf dan dihargai walaupun tanpa keupayaan atau bakat yang memadai.

Individu ini juga sering berfantasi tentang sesuatu kejayaan, kuasa, atau kecantikan, sentiasa mendambakan yang terbaik untuk diri sendiri (sebagai contoh, kereta, ruang pejabat, atau pasangan yang sempurna), serta ketidakmampuan untuk menghargai keperluan dan perasaan orang lain yang diterjemahkan melalui sikap suka memperlekeh dan memanipulasi orang lain yang dianggap tidak sesempurna atau sebaik dirinya.

Individu narsisistik lazimnya tidak akan mengganggap dirinya bermasalah, malahan akan menuding jari kepada orang lain apabila timbul sesuatu isu berkaitan tingkah laku kendirinya.

Selain itu, individu yang mengalami kecelaruan ini juga sering berhadapan dengan kesukaran untuk mengakui kesilapan diri sendiri, di samping bermasalah untuk meminta maaf atau menerima permohonan maaf daripada orang lain.

Natijahnya, individu narsisistik sering memberitahu dirinya sendiri bahawa dia adalah yang terbaik dalam segala hal berbanding orang lain walaupun hakikat atau realiti yang sebenar adalah ‘jauh panggang dari api’.

Kecelaruan personaliti ini juga tidak dapat dikenal pasti secara tuntas tentang puncanya yang kompleks. Namun, majoriti pakar bersependapat bahawa ianya berkemungkinan dicetuskan oleh faktor-faktor persekitaran, genetik, dan neurobiologi.

Dalam hal ini, andaian bahawa kombinasi gaya didikan ibu bapa (ibu bapa yang menyokong atau mengkritik anak-anak secara berlebih-lebihan semasa kecil), ciri yang diwarisi, serta hubung kait antara kapasiti otak dan gaya berfikir/bertingkah laku merupakan faktor kritikal yang menyumbang kepada peningkatan masalah kesihatan mental ini dalam masyarakat.

Sebagai contoh, ibu bapa yang terlalu menurut atau memanjakan anak secara keterlaluan terutama dalam aspek pembinaan sahsiah dan kebendaan akan mengakibatkan anak itu membesar dengan kecenderungan tinggi untuk menjadi ahli masyarakat yang narsisistik.

Dalam hal ini, senario spoiled brats yang merujuk kepada kewujudan golongan “anak-anak manja” yang berhadapan pelbagai masalah dalam kehidupan (walaupun usia melewati peringkat dewasa dan matang) merupakan satu ilustrasi kukuh kepada pembinaan ciri personaliti narsisistik yang dimangkin oleh faktor salah gaya didikan ibu bapa.

Selain itu, perubahan gaya hidup yang drastik dalam konteks sosioekonomi dan kemasyarakatan juga berpotensi menyumbang kepada peningkatan kelompok individu narsisistik dalam komuniti.

Sebagai contoh, perubahan geo-politik atau landskap ekonomi masyarakat yang turut mengubah status quo segelintir ahli komuniti secara tiba-tiba berkemungkinan melahirkan lebih ramai individu narsisistik yang egois dan bermasalah komunikasi dalam interaksi sosial seharian.

Oleh kerana ia berlaku di luar sedar dan mengancam semua lapisan, setiap dari kita boleh berhadapan dengan isu kecelaruan mental ini tanpa mengira profesion, umur atau status yang dipegang dalam komuniti.

Sebagai illustrasi, seorang pemimpin masyarakat yang bersifat narsisistik akan tampil angkuh dalam pembuatan keputusan kerana sentiasa beranggapan dirinya sahaja yang betul manakala orang lain semuanya salah.

Sebagai warga pendidik di pelbagai peringkat pula, individu narsisistik boleh diibaratkan sebagai ‘ketam yang mengajar anaknya berjalan betul’ dalam proses mendidik dan membentuk generasi muda kerana hakikat sebenar adalah diri mereka sendiri yang hipokrit dan tidak sesenonoh mana pun personalitinya.

Justeru, berhati-hatilah apabila kita mula kerap menggunakan pernyataan kendiri yang keterlaluan serta sering berkecenderungan memperkecilkan orang lain (sebagai contoh, aku ada PhD kau ada diploma je…., aku seorang je yang boleh buat benda ni, orang lain tau apa…., atau aku betul, aku tak perlu minta maaf…), kerana kita mungkin sudah mula diancam kecelaruan personaliti narsisisme tanpa kita sedari.

Satu-satunya bentuk rawatan yang disaran untuk membantu individu yang berhadapan dengan masalah kecelaruan mental luar sedar ini adalah terapi bercakap atau perkhidmatan kaunseling secara terancang.

Sehubungan itu, dapatkanlah bantuan sekiranya memerlukan agar kesedaran masyarakat umum di Malaysia tentang isu-isu kesihatan mental wajar dipertingkatkan dan kesejahteraan komuniti dapat dipelihara secara menyeluruh sepertimana digagaskan kerajaan pada era Malaysia baharu ini.

– BERNAMA


Pengarang :