BERITA UTAMARENCANASELANGOR

Nuzul al-Quran pedoman hidup, tempuhi Ramadan dengan sabar

 

Kita telah melalui hampir separuh daripada perjalanan kita di bulan Ramadan pada tahun ini. Di hadapan kita ada lagi baki perjalanan perlu dilalui dengan penuh khusyuk dan sepenuh hati agar kita tidak mensia-siakan nikmat Ramadan yang hanya datang setahun sekali ini.

Ramadan pada kali ini juga mencabar dengan wabak Covid-19 yang harus kita lalui dengan kesabaran tinggi. Ini adalah pengalaman yang akan menjadi peristiwa penting dalam sejarah hidup kita. Saya secara peribadi juga turut merasai kesukaran petugas barisan hadapan bekerja berjam-jam untuk memastikan penularan wabak ini dapat dikawal.

Saya bertuah kerana mempunyai pasukan mantap terdiri daripada Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, barisan kepimpinan penjawat awam negeri Selangor, Majlis Keselamatan Negara Negeri Selangor, Pasukan Petugas Khas Covid-19 Selangor (STFC) dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor yang sentiasa bersedia memastikan rakyat selamat dan sihat.

Begitu juga dengan komitmen tinggi ditunjukkan Pihak Berkuasa Tempatan dan Pejabat Tanah dan Daerah yang menjayakan banyak usaha telah dirancang. Tidak lupa juga anak-anak syarikat kerajaan negeri seperti Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) dan juga Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang turut aktif menjalankan program-program CSR mereka dan juga inisiatif-inisiatif yang responsif kepada keperluan masyarakat.

Saya percaya dengan sinergi yang ada di peringkat Kerajaan Negeri dan juga kerjasama yang baik daripada masyarakat akan dapat membolehkan kita menghadapi ujian ini. Wabak ini tidak akan berakhir sepenuhnya sehinggalah vaksin ditemui. Walaupun kita boleh keluar bekerja dan melaksanakan aktiviti harian itu tidak bermaksud kita boleh melakukannya seperti waktu sebelum wabak ini.

Ini kerana virus masih wujud dan boleh menjangkiti kita jika kita tidak mengamalkan kaedah pencegahan baik seperti memakai pelitup muka, membasuh tangan dengan betul dan juga mengamalkan penjarakan sosial. Kita tidak ada pilihan lain kerana inilah kebiasaan baharu yang perlu kita terima dan amalkan.

Bulan Ramadan juga adalah bulan di mana al-Quran diturunkan kepada Rasulullah SAW yang mewariskan kepada kita dua pusaka yang besar iaitu al-Quran dan Sunnahnya. Untuk kita umatnya yang tidak hidup di zaman baginda, pusaka inilah yang akan menjadi panduan di dalam kehidupan kita.

Sempena Nuzul Quran ini marilah kita bersama mengambil kesempatan untuk meningkatkan lagi kefahaman kita tentang al-Quran. Kita digalakkan untuk bertadabbur dan memahami ayat-ayat suci al-Quran. Apatah lagi dengan janji pahala berlipat ganda oleh Allah SWT bagi mereka beribadah di bulan Ramadan ini.

Lapis makna

Imam al-Ghazali di dalam Ihya’ Ulumuddin menyebutkan bahawa terdapat banyak lapis makna dan ilmu di dalam al-Quran untuk mereka yang mengkajinya. Bahkan kata al-Ghazali seorang alim pernah menyebutkan bahawa al-Quran mempunyai 77, 200 bentuk ilmu, dan setiap satu kalimah adalah cabang ilmu yang dapat bercambah empat kali ganda.

Begitu juga seperti yang diungkapkan oleh Saiyidina Ali R.A yang mengatakan bahawa jika beliau mahu beliau boleh mengisi di belakang tujuh puluh ekor unta tafsir surah al-Fatihah dan maknanya.

Pesan-pesan al-Quran berguna dan masih terpakai untuk kita pada saat wabak ini menular. Anjuran untuk sentiasa berfikir, penghujatan kepada yang malas berfikir dengan sindiran “afala ta’qilun” (tidakkah mereka berakal) serta pengiktirafan berulang kepada martabat orang berilmu dengan panggilan yang baik seperti ‘Ulil Albab’ misalnya, mampu membuat kita untuk terus merenung dan mengkaji ayat-ayatnya, yakni petanda-petanda Tuhan kepada manusia.

Dan hanya dengan terus mengkaji dan mengkaji akan kita jumpakan jalan keluar kepada masalah ini, mengingatkan janji Rasulullah SAW tentang penawar untuk setiap penyakit.

Dalam keberanian untuk berfikir sebegitu pun, kitab al-Majid ini tidak pernah mengajar kita untuk menjadi orang yang angkuh seraya mendabik dada bahawa hampir seluruh dunia serta isinya sudah mampu dirungkai oleh akal insani dan sentiasa mengutamakan kerendahan hati.

Lain-lain pesan yang malar segar seperti kepedulian kepada anak yatim, orang miskin dan golongan yang lemah; menghormati orang tua dan wanita; kepentingan untuk menyatakan kebenaran walaupun pahit sentiasa mengetuk hati kecil kita untuk terus menekuninya dari kecil hingga dewasa.

Dengan itu, ia sentiasa menjadi kekaguman kepada mereka yang ingin tahu seperti mana Thomas Jefferson, bapa kemerdekaan Amerika yang pernah menekuninya. Paling tidak, ia menjadi panduan spiritual buat umat manusia.

Gugah status quo

Tidak hairanlah waktu ia diturunkan, ayat-ayat suci keluar dari bibir junjungan kita yang mulia begitu revolusioner dan menggugah status quo masyarakat Arab waktu itu. Beberapa amalan normal zaman jahiliah seperti penanaman hidup-hidup anak perempuan, pewarisan isteri kepada anak lelaki, dan lain-lain praktis zalim terus diganggu atau mendapat ‘disruption’ kesan daripada mukjizat al-Quran.

Hasilnya, norma jahiliah itu berjaya dihapuskan dan diganti dengan ‘new normal’ ataupun norma baharu seperti persaudaraan sesama manusia, pemartabatan wanita secara keseluruhannya dan anjakan kepada bibit-bibit pembebasan hamba.

Betapa mendalamnya al-Quran, kitab yang akan sentiasa relevan sepanjang zaman seperti mana firman Allah SWT di dalam surah an-Nahl ayat 89 bermaksud bahawa al-Quran adalah kitab yang menjadi penjelas kepada setiap sesuatu, petunjuk dan juga rahmat dan berita gembira kepada umat Islam.

Perutusan Nuzul al-Quran oleh Dato’ Menteri Besar


Pengarang :