Dato’ Seri Amirudin Shari menyantuni peniaga dan pembeli serta meninjau keadaan Pasar Agro Selangor secara pandu lalu di Seksyen 13, Shah Alam pada 23 Mei 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Operasi pandu lalu Pasar Agro Selangor lancar, sedia diperluas

SHAH ALAM, 23 MEI: Operasi Pasar Agro Selangor sedia diperluas pada musim perayaan akan datang bagi memastikan jualan secara pandu lalu berjalan lebih lancar, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar berkata kualiti produk juga perlu dikekalkan jika usaha membuka lebih banyak gerai jualan pandu lalu dilakukan bagi mengurangkan kesesakan di pasar awam.

Menurutnya, walaupun menerima rungutan daripada beberapa pembeli kerana terpaksa beratur panjang tetapi sekurang-kurangnya mereka menunggu di dalam kereta berbanding berdiri lebih lama di pasar awam.

“Saya lihat di beberapa tapak pasar agak padat tetapi (Pasar Agro Selangor) telah melonggarkan sedikit tekanan di sana (pasar awam) sekaligus mengurangkan kesan-kesan Covid-19.

“Kita dapati di pasar terdapat beberapa kes yang merebak. Bukan ingin menakutkan orang ke pasar tetapi saya kira kita perlu lebih berhati-hati,” katanya ketika sidang media di tapak pasar tani Seksyen 13 Shah Alam hari ini.

Beliau berkata tawaran harga jualan di Pasar Agro Selangor lebih rendah dan berpatutan tanpa melibatkan sentuhan fizikal demi menghalang penularan Covid-19.

Katanya kesesakan yang berlaku dua hari menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri adalah perkara biasa kerana semua orang mahu membuat persiapan membeli barang keperluan.

Amirudin sebelum itu meninjau operasi jualan secara pandu lalu yang mula dibuka selama dua hari bermula semalam serta mendekati pembeli dan penjual.

Selain di Shah Alam, pasar sama turut beroperasi di beberapa lokasi lain antaranya tapak pasar tani Kelana Jaya; Saujana Utama, Sungai Buloh dan Beranang, Hulu Langat.


Pengarang :