Anggota polis melakukan sekatan jalan raya di Lebuhraya Persekutuan berhadapan bangunan Majlis Perbandaran Klang pada 20 Mac 2020 susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKIN
AGENDANASIONAL

Orang ramai dibenar rentas negeri tidak boleh melencong

SHAH ALAM, 8 MEI: Orang ramai yang melakukan perjalanan rentas negeri menerusi aplikasi Gerak Malaysia tidak dibenarkan melencong ke destinasi lain semasa tempoh perjalanan tersebut, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata mereka perlu mengikut perjalanan yang ditetapkan seperti dalam permohonan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Dalam permohonan kepada polis akan ditulis destinasi, kalau dari Johor dan destinasi ke Kuala Lumpur tak boleh melencong ke Melaka dulu (umpamanya). Ia tidak boleh, tidak dibenarkan.

“Perjalanan mesti diteruskan mengikut destinasi yang dimohon dengan pihak polis. Tak boleh melencong. Kalau hendak buka puasa, saya galakkan pemandu dan penumpang bawa bekalan makanan dalam kereta,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata, bermula semalam polis memberikan 26,181 kebenaran yang dimohon menerusi aplikasi Gerak Malaysia dan 6,304 kebenaran melalui borang manual bagi mereka yang terkandas di Kuala Lumpur untuk pulang ke kediaman di negeri lain.

“PDRM juga membuka 98 sekatan jalan raya untuk memantau pergerakan rentas negeri. Setakat ini pergerakan berjalan lancar dan menerusi laporan polis, ramai pengguna bertolak pada awal pagi selepas bersahur.

“Hari ini, polis memberi 70,538 lagi kebenaran bagi mereka yang berada di Perak, Johor dan Kelantan untuk pulang ke kediaman masing-masing,” katanya.


Pengarang :