Selangorkini
AGENDA NASIONAL

PAKATAN bimbang pakej rangsangan banyak tiris, bantuan tidak sampai

SHAH ALAM, 18 MEI: Pakatan Harapan (PAKATAN) bimbang berikutan banyak laporan ketirisan yang mengakibatkan bantuan pakej rangsangan ekonomi dan Covid-19 tidak sampai kepada golongan sasar.

Mengikut kenyataan bersama pemimpin Pakatan Harapan (PAKATAN) dan sekutunya, isu berkenaan merisaukan kerana pakej itu membabitkan golongan memerlukan dan ia perlu dibahaskan segera.

“Kami juga berharap isu Covid-19 terutamanya berkaitan dengan pakej rangsangan dapat diberi tumpuan khusus di mana banyak laporan berlakunya ketirisan,” kata kenyataan pada 18 Mei lalu.

PAKATAN juga menyanjung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang khuatir dengan gejala rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

Pemimpin pembangkang yang merujuk kes Riza Shahriz Aziz, anak tiri Datuk Seri Najib Razak, menganggap kes itu menjejaskan imej negara pada peringkat antarabangsa.

“Sepertimana kes yang membabitkan Riza Aziz di mana keputusan untuk membebaskannya akan memperlihatkan bahawa kita tidak serius menangani gejala tersebut.

Pada 14 Mei lalu, Riza dilepaskan tanpa dibebaskan mahkamah selepas membuat perjanjian untuk memulangkan wang jutaan ringgit yang ada kaitan dengan lima pertuduhan penggubahan wang haram.

Selain itu, PAKATAN dalam kenyataan sama turut menyatakan ahli parlimen mereka akan memainkan peranan semak dan imbang demi memastikan dasar kerajaan dilaksanakan sebaik mungkin.

Perkara itu termasuk Wawasan Kemakmuran Bersama 2020, pelan antirasuah, pembangunan prasarana kritikal terutama di Sabah dan Sarawak, isu kemiskinan dan jurang ekonomi antara wilayah.

Kenyataan itu ditandatangani Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah, Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal, Presiden Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut (Upko) Datuk Seri Madius Tangau.


Pengarang :