Riza Shahriz Abdul Aziz, anak tiri bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen pada 14 Mei 2020 daripada pertuduhan pengubahan wang haram. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PAKATAN bimbang penyelesaian kes Riza Aziz diguna pakai kepada ahli politik

SHAH ALAM 17 MEI: Pakatan Harapan (PAKATAN) dan sekutunya bimbang beberapa kes melibatkan pemimpin politik akan menggunakan penyelesaian seperti keputusan terhadap Riza Shahriz Aziz, anak tiri Datuk Seri Najib Razak.

Dalam kenyataan media yang ditandatangani presiden dan pemimpin utama parti serta sekutu mereka, PAKATAN menganggap penyelesaian kes berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sebagai suatu petanda atau isyarat.

“…kes 1MDB berkait Riza Aziz, yang telah dilepaskan tanpa dibebaskan, menjadi petanda atau isyarat bahawa beberapa kes besar lain yang melibatkan beberapa tokoh politik akan menggunakan jalan penyelesaian yang sama,” katanya kenyataan itu.

Pada 14 Mei lalu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan Riza berikutan persetujuan dicapai antara tertuduh dan pendakwa iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Namun, persetujuan itu bergantung kepada pematuhan Riza untuk memulangkan jutaan ringgit wang kerajaan yang ada kaitan dengan lima pertuduhan pengubahan wang haram.

Jika pengerusi Red Granite Pictures yang menghasil filem The Wolf of Wall Street gagal mematuhinya, SPRM boleh mengenakan semula pertuduhan tersebut di mahkamah.

Sebelum ini, Riza berdepan lima pertuduhan pengubahan wang haram bernilai AS$248 juta (RM1.25 bilion) membabitkan dana 1MDB.

Kenyataan itu ditandatangani Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah, Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Shafie Apdal.


Pengarang :