Tun Dr Mahathir Mohamad pada sidang media selepas mengadakan pertemuan bersama ahli Parlimen Pakatan Harapan dan Warisan di Kuala Lumpur pada 6 Oktober 2019. Turut hadir, Presiden Pakatan Harapan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PAKATAN, Dr Mahathir terus desak sidang penuh Dewan Rakyat

SHAH ALAM, 4 MEI: Pakatan Harapan (PAKATAN) bersama sekutunya Tun Dr Mahathir Mohamad dan Parti Warisan Sabah (Warisan) mendesak kerajaan untuk mengadakan sidang penuh Parlimen atau sekurang-kurangnya dua minggu.

Dalam kenyataan bersama, mereka berkata gesaan itu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang memberi kelonggaran dalam  banyak sektor ekonomi mengikut tatacara operasi piawai (SOP) tertentu.

“Memandangkan Parlimen memutuskan SOP bagi membolehkan persidangan pada 18 Mei dan membenarkan banyak aktiviti secara bersyarat, maka sebenarnya tiada alasan atau halangan bagi Parlimen untuk bersidang penuh lebih dari sehari yang diumumkan.

“Persidangan lebih panjang akan membolehkan perbahasan isu yang lebih mendalam serta membolehkan ahli-ahli jemaah menteri melaksana agenda legislatif kementerian masing-masing,” katanya.

“Oleh yang demikian, kami menggesa kerajaan untuk segera melaksana sidang Parlimen penuh dengan menambah jumlah hari persidangan ke sekurang-kurangnya dua minggu.”

Kenyataan tersebut dikeluarkan Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Bersatu tidak lagi bersama PAKATAN susulan krisis politik pada Februari lalu yang menyaksikan sebahagian besar ahli-ahli parlimen parti menyertai kerajaan Perikatan Nasional.

Beberapa hari lalu, PAKATAN mendesak sidang Dewan Rakyat diadakan sekurang-kurangnya dua minggu.

Bagaimanapun semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Takiyuddin Hassan menegaskan  sidang itu wajar dikekalkan sehari.

Katanya, ia mengambil kira pendirian kerajaan bahawa sebarang bentuk perhimpunan ramai masih belum sesuai ketika ini dalam usaha mengawal risiko jangkitan Covid-19.


Pengarang :