AGENDANASIONAL

Panggil tukang gunting ke rumah tidak dibenar

SHAH ALAM, 12 MEI: Kerajaan tidak mengizinkan tukang gunting rambut dipanggil ke rumah kerana sektor itu masih dalam senarai perkhidmatan tidak dibenar beroperasi, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata demikian bagi mengulas dakwaan ada pihak kenamaan (VIP) secara peribadi memangil tukang gunting untuk datang ke rumah.

“Berita baharu ini, saya pun tidak dapat lagi berita ini, tak tahu sahih atau pun tidak.

“Namun kalau mengikut peraturan memang tidak boleh, barber (tukang gunting) masih dalam senarai dilarang, sama ada pergi ke kedai atau datang ke rumah, tidak boleh,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Dalam pada itu mengulas kebimbangan wujud kluster baharu berikutan tindakan orang ramai menyerbu kaunter Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi rayuan permohonan Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Ismail Sabri berkata perbincangan akan dilakukan bersama polis.

“Rayuan dibuka hingga 31 Mei, jadi tidak perlu tergesa-gesa untuk ke kaunter LHDN. Kita akan bincang dengan polis untuk letak anggota di LHDN bagi memantau pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) termasuk penjarakan sosial ketika berurusan di kaunter.

“Jadi tidak kira di mana-mana tempat sama ada LHDN, restoran atau pasar, bagi mereka yang beratur, SOP perlu dipatuhi,” katanya.


Pengarang :