AGENDANASIONAL

Panggilan video, cara baharu rai Aidilfitri – Wan Azizah

SHAH ALAM, 23 MEI: Orang ramai yang tidak berpeluang pulang ke kampung bagi meraikan Aidilfitri esok disarankan menggunakan cara baharu untuk beraya iaitu membuat panggilan video kepada saudara-mara.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menerusi kenyataan hari ini berkata, beliau berharap semua orang bersabar ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) demi membanteras penularan Covid-19.

“Kita boleh berhari raya dengan cara baharu, iaitu dengan menggunakan gajet dan perisian yang ada dengan berkomunikasi secara video di atas talian bersama saudara-mara di mana jua mereka berada, sama ada di dalam mahupun di luar negara,” kata Ahli Parlimen Pandan yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri.

Menurutnya, wabak yang melanda seluruh dunia, memaksa semua orang mengamalkan penjarakan sosial dan menjaga kebersihan diri pada setiap waktu yang menyebabkan kita bertindak lain daripada biasa.

“Mungkin kali terakhir manusia mengamalkan cara begini ialah lebih seratus tahun lalu bila dunia dilanda dengan wabak Spanish Flu yang diberitakan berlaku selama 14 bulan bermula Mac 1918,” jelasnya.

Katanya, penularan Covid-19 ini juga harus dilihat sebagai dimensi baharu iaitu memberi peluang kepada suami atau bapa serta anak-anak lelaki untuk mengimam solat Aidilftri dan menyampaikan khutbah raya di rumah masing-masing.

“Saya juga amat gembira melihat bagaimana usaha-usaha kemanusiaan diperhebat dalam bulan Ramadan ini dengan pelbagai pihak menyampaikan bantuan kewangan serta bantuan berbuka puasa dan
hari raya kepada yang memerlukan termasuk kepada mereka yang bukan beragama Islam,” katanya.


Pengarang :