ADNSELANGOR

Pasar Sekinchan masih dibuka, patuhi jarak sosial

SHAH ALAM, 13 MEI: Orang ramai yang berkunjung ke Pasar Awam Sekinchan dinasihatkan mengamalkan penjarakan sosial, memakai pelitup muka dan sentiasa mencuci tangan dengan sabun atau cecair pembasmi kuman bagai mengelakkan jangkitan Covid-19, kata Ng Suee Lim.

Ahli dewan negeri Sekinchan berkata mereka yang tiada keperluan keluar diminta terus duduk di rumah.

“Saya minta kerjasama orang ramai untuk duduk sahaja di rumah jika tiada keperluan melainkan benar-benar perlu beli barang. Saya sarankan hanya seorang sahaja keluar walaupun kini sudah dilonggarkan kepada empat orang dalam satu kenderaan,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Selain itu, Suee Lim meminta orang awam tidak menyebarkan maklumat palsu di media sosial terutama berkaitan kes Covid-19 di Pasar Awam Sekinchan.

Mengulas sama ada pasar itu ditutup atau tidak ekoran seorang peniaga dikesan positif Covid-19, Suee Lim berkata setakat ini belum ada arahan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Semua dalam keadaan baik dan dalam pengawasan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB). Malah, hampir keseluruhan pasar telah dibuat proses nyahkuman selain pengunjung dan peniaga juga akan diperiksa suhu badan setiap hari,” jelasnya.

Semalam, MDSB menutup tiga petak gerai di pasar itu susulan terdapat seorang peniaga disahkan positif Covid-19 selepas disaring 5 Mei lalu.

MDSB turut meminta pengunjung dan peniaga supaya menjalani saringan Covid-19 dengan segera.


Pengarang :