BERITA UTAMARENCANASELANGOR

Pasca Covid-19, pekerja perlu tangani perubahan hidup

Saat ini kita sedang berada dalam fasa keempat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Buat umat Islam, ini merupakan pengalaman yang sangat berbeza untuk menjalani ibadah puasa dengan wabak Covid-19 melatari setiap tingkah perbuatan kita.

Namun sudah semestinya kita bersyukur kepada Allah SWT yang memberikan kesempatan untuk sekali lagi bertemu dengan Ramadan, bulan menjanjikan rahmah, magfirah dan juga perlepasan dari api neraka.

Bukan sahaja kita di Malaysia ini perlu mengubah cara kita mengimarahkan Ramadan tetapi juga saudara-saudara muslim kita di seluruh dunia turut sama menghadapi cabaran ini. Tidak ada solat tarawih berjemaah di masjid, tiada majlis berbuka puasa besar-besaran dan moreh juga tidak ada kunjung-mengunjung ke bazar Ramadan.

Pun begitu seperti dalam hal-hal yang sukar, ada hikmah yang dapat memberikan peluang kepada kita untuk terus melaksanakan kebaikan sebagai khalifah Allah di muka bumi ini.

Antara peluang yang mungkin jarang untuk kita dapatkan adalah masa yang banyak bersama keluarga apatah lagi di bulan Ramadan ini kita dapat menunaikan solat tarawih berjemaah, saling bertadarus dan memeriksa bacaan al-Quran masing-masing dan banyakkan berselawat dan berdoa kepada Allah SWT.

Saya percaya ini adalah peluang keemasan untuk kita mengukuhkan lagi hubungan sesama suami dan isteri, ibu bapa dan juga anak-anak.

Peluang alam rawat diri

Minggu lepas, saya ada menyentuh sedikit tentang ‘new normal’ atau kebiasaan baharu ini. Banyak ulasan dan komentar tentang istilah ini yang sebenarnya menunjukkan bahawa penularan Covid-19 pada peringkat global ini adalah satu peristiwa yang mempunyai kesan yang dapat mengubah banyak perkara termasuklah kesan terhadap alam sekitar.

Flora dan fauna turut mendapat manfaat daripadanya dalam pelbagai laporan akhbar, daripada penurunan jejak karbon sehinggalah kepada kejernihan sungai dan air laut. Kita tidak perlu tanya pakar untuk menyaksikan kebersihan Sungai Klang dengan mata dan kepala sendiri.

Di Selangor juga, KDEB Waste melaporkan penurunan sisa sampah pepejal turun sebanyak 14.8 peratus di semua 14 PBT sewaktu PKP.

Antara berita-berita yang muluk ini, suatu mimpi ngeri mungkin akan berlaku tak lama lagi. Dalam sebuah pengumuman baru-baru ini. Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) telah mengaku bahawa jangkaan awal mereka berkenaan dengan kesan ekonomi wabak Covid-19 ke atas 170 negara adalah ‘terlalu optimistik’.

Begitu juga dengan unjuran Bank Dunia bahawa perkembangan ekonomi Malaysia berada pada paras -0.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Kenyataan sebegini tidaklah begitu mengejutkan kerana saat ini kita sedang menghadapi suatu keadaan yang tidak pernah kita hadapi sebelum ini; suatu yang dipanggil ‘The Great Unknown’.

Justeru, terdapat pelbagai bentuk tindakan yang diambil oleh negara-negara akibat wabak ini sama ada ‘full lockdown’ seperti di Wuhan, Perintah Kawalan Pergerakan seperti di Malaysia atau selembut-lembut anjuran penjarakan sosial sahaja seperti di Sweden.

Yang pasti, banyak industri yang terjejas. Para petugas baris hadapan sedang bertungkus lumus tanpa penat lelah menguruskan pandemik ini. Dan gaya hidup kita semua turut berubah.

Pelbagai insentif ringan beban pekerja

Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan pemotongan gaji secara sukarela oleh beberapa pengurusan korporat Malaysia. Ada antara syarikat gergasi ini memotong sehingga 40 peratus daripada gaji, sementara banyak yang tidak lagi mengambil pekerja baru.

Sedikit demi sedikit manfaat kebajikan pekerja juga terpaksa dibatalkan bagi mengelakkan pekerja sedia ada daripada dibuang. Itulah antara dilema yang dihadapi oleh pengurusan syarikat saat wabak Covid-19 mengganas.

Kerajaan Negeri telah mengambil langkah yang cepat dan wajar bagi membantu mengurangkan beban pekerja dan mereka yang terbeban, seperti RM40 juta insentif buat penjaja berlesen dan RM12 juta pengecualian sewa premis kepada penjaja, juga RM100 juta untuk kecairan tunai Pengusaha Kecil Sederhana melalui Selangor Advance.

Perihal kebajikan pekerja yang sedia ada sudah cukup merisaukan, tetapi lupakah kita akan nasib anak-anak mahasiswa tahun akhir kita?

Mereka yang kini diberi julukan Generasi Tersesat atau ‘Lost Generation’ ini merupakan mereka yang memilih untuk menyambung pendidikan tinggi di menara gading dengan harapan yang tinggi bahawa segulung ijazah akan menjanjikan kerjaya yang lebih baik, hanya untuk kemudiannya dihadapkan dengan realiti baharu kesan daripada wabak Covid-19.

Seperti yang kita tahu, pengangguran adalah sesuatu yang bukan sahaja tidak produktif untuk negara malah berbahaya. Banyak yang boleh kita belajar dari keresahan politik yang berlaku sebelum ini, daripada Gerakan Occupy, Jaket Kuning di Perancis mahu pun yang lebih dekat seperti Revolusi Payung di Hong Kong dan di Thailand.

Anak muda bukan sahaja mahu berkerjaya dan diberi akses kepada ‘social mobility’ malah mereka turut mahu kehidupan yang lebih bererti — ramai antara mereka yang sedikit bernasib baik dan mempunyai kerjaya mengadu tidak menjumpai ‘makna’ dalam kerja mereka.

Di situlah peranan kerajaan menjadi maha penting dalam menyediakan ekosistem yang mampu mencipta kerjaya malah mencipta kekayaan (wealth creation) yang bukan sahaja mampu meletakkan bumbung di atas kepala dan mengisi tembolok tetapi turut sama mengisi makna: sebuah kehidupan yang bermartabat.

Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) ke-8 yang digariskan oleh Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) telah menyatakan keperluan untuk meningkatkan penciptaan kerjaya, produktiviti yang lebih tinggi dan inovasi teknologi serta penggalakan keusahawanan. Dalam bahasa yang mudah: decent job and economic growth (pekerjaan yang wajar dan perkembangan ekonomi).

Selangor komited dengan rangka kerja UNDP dan akan berusaha sesungguhnya bagi mencapai SDG ke-8. Sejumlah besar belanjawan diperuntukkan untuk usaha ini, termasuk mengupayakan TVET dan juga penubuhan Institut Pemberdayaan Pekerja bagi mendepani cabaran IR4.0.

IR4.0 yang sering disebutkan sebelum ini sudah pun bermula tanpa kita sedari. Rakyat boleh bekerja dari rumah, malah kebanyakan urusan kerajaan dapat diselesaikan dalam talian.

Selangor turut mencipta sejarah dengan memperkenalkan Selangor Tutor, platform dalam talian untuk pembelajaran serta beberapa inovasi lagi sewaktu PKP seperti Platform Selangor (PLATS) dan e-Bazar Raya Selangor Bersama Shopee.

Masanya telah tiba untuk terus memacu ke hadapan. Inisiatif digitalisasi yang kita sebut Smart Selangor semenjak 2016 lagi kini menjadi suatu realiti. Seperti yang sering saya sebutkan kepada para penjawat awam, sekiranya kita tidak berubah dan berada di takuk yang lama, kita akan ditinggalkan.

Begitulah pesanan saya kepada para pekerja sama ada yang baharu mahupun veteran: tingkatkan kemahiran, dan teruskan penerokaan dalam inovasi serta penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Bersama-sama kita bangunkan semula kehidupan dan negeri bersama-sama IR4.0 dalam menghadapi ‘new normal’ pasca Covid-19 ini.

Selamat Hari Pekerja.

Perutusan Hari Pekerja 2020 oleh Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari


Pengarang :