Selangorkini
AGENDA NASIONAL

Pavilion KL guna aplikasi SELangkah, jejak kontak Covid-19

SHAH ALAM, 30 MEI: Aplikasi SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) yang dibangunkan Kerajaan Selangor bagi menjejak kontak jangkitan Covid-19 turut dimanfaatkan pusat beli-belah terkemuka, Pavilion Kuala Lumpur.

SELangkah menerusi hantaran di Facebook menyifatkan pendekatan itu sebagai bijak memandangkan pusat beli-belah premium di kota metropolitan sering menjadi tumpuan pengunjung.

“Dengan langkah ini, Pavilion sebenarnya melindungi pelanggan, premis dan membantu petugas barisan hadapan untuk sebarang kemungkinan yang tidak diingini,” menurut hantaran itu.

SELangkah diperkenalkan pada 4 Mei lalu bagi menggantikan sistem catitan menggunakan pen dan kertas selain membantu Jabatan Kesihatan Negeri mengesan kontak wabak berkenaan.

Ia tidak mendedahkan butiran peribadi pengguna sebaliknya hanya merekodkan masa dan tempat yang dikunjungi individu berkenaan.

Sehingga 28 Mei lalu, aplikasi SELangkah telah diakses sebanyak 8.3 juta kali. Aplikasi itu turut diperluas ke semua negeri di Semenanjung Malaysia.

Penggunaan luar Selangor membabitkan syarikat atau premis perniagaan memiliki rangkaian cawangan di negeri lain antaranya 7-Eleven, Al-Ikhsan Sports, Giant Hypermarket, JM Bariani House, F&N Coca Cola (M) Sdn Bhd, Coffee Bean & Tea Leaf, SP Setia dan Chilli’s.


Pengarang :