Datin Seri Masdiana Muhamad (tengah) bersama penerima pada Majlis Sumbangan Hari Raya Pekawanis DUN Sungai Tua, Batu Caves pada 19 Mei 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Pekawanis sumbang RM144,000 bantu ibu tunggal, asnaf sempena Aidilfitri

BATU CAVES, 19 MEI: Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) memperuntukkan RM144,000 bagi membantu ibu tunggal serta asnaf di negeri ini menyambut Aidilfitri.

Yang Dipertuanya Datin Seri Masdiana Muhamad berkata bantuan berupa duit raya diberikan kepada 30 penerima di setiap 48 Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Bantuan ini diberikan setiap tahun kepada penerima berbeza. Kita utamakan ibu tunggal namun sekiranya mereka menerima bantuan lain, kita akan beri kepada asnaf.

“Langkah ini memastikan individu layak menerima bantuan sekali gus membantu meringankan beban mereka,” katanya ketika Majlis Sumbangan Hari Raya Pekawanis DUN Sungai Tua hari ini.

Jelas Masdiana yang juga isteri kepada Dato’ Menteri Besar, program sejak 2008 tetap dianjurkan walaupun tahun ini berbeza susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Selalunya kita kumpul ramai-ramai dan buka puasa bersama tetapi tahun ini kita tidak dapat meraikan suasana itu. Setakat ini lebih 20 DUN sudah menyerahkan sumbangan dan dijangka selesai minggu ini,” katanya.

Dalam majlis berkenaan, Masdiana turut menyerahkan bubur lambuk dan kuih raya sumbangan Pejabat Dato’ Menteri Besar.


Pengarang :