Suasana di pusat pengumpulan e-kitchen Bangi yang dikendalikan menggunakan platform Plats (Platform Selangor) dan Grab. Foto Facebook Bisnes Amal MBI
AGENSISELANGOR

Pelanggan e-Bazar Ramadan meningkat, ramai peniaga berminat sertai

SHAH ALAM, 6 MEI: Program e-Bazar Ramadan mendapat sambutan menggalakkan dengan jumlah pelanggan membeli juadah berbuka puasa semakin meningkat, kata Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor.

Justeru, pemerbadanan berharap sambutan orang ramai itu berterusan walaupun pelanggan sudah mempunyai pilihan selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Diubahsuai (PKPBD) dilaksanakan.

“MBI turut menerima permintaan dari peniaga untuk sertai e-dapur namun terpaksa dihadkan atas faktor penempatan.

“Setakat ini 133 peniaga sudah menyertai e-dapur ini membabitkan 10 lokasi selain beberapa restoran dijadikan pusat pengumpulan makanan,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

E-dapur kini beroperasi di Ampang, Bangi, Semenyih, Sepang, Damansara, Klang, Petaling Jaya, Puchong, Seri Kembangan dan Subang Jaya. Lokasi ke-11 di Batu Caves akan beroperasi Khamis ini.

Pada 24 April lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan penyediaan 200 ruang untuk peniaga menjual juadah berbuka puasa melalui dua saluran e-dagang, Grab dan Platform Selangor (Plats) dengan penghantaran dibuat melalui Grab, BungkusIt, Mr Speedy, Zepto Express dan MatDespatch.

Pratempahan bermula 10 malam hingga 1 tengah hari manakala pesanan dalam talian dibuka bermula 2.30 sehingga 5.30 petang.


Pengarang :