Luas bersama Jabatan Alam Sekitar (Jas), Pengurusan Air Selangor dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mendapati pencemaran berpunca dari Stesen Jana Kuasa Kuala Langat. Foto Lembaga Urus Air Selangor
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Pencemaran LRA Labohan Dagang terkawal, tiada gangguan bekalan

SHAH ALAM, 4 MEI: Tindakan pantas kawalan pencemaran di Sungai Langat berjaya mengelak henti tugas loji pembersihan air (LPA) Labohan Dagang semalam, sekali gus tidak berlaku gangguan bekalan air.

Lembaga Urus Air Selangor (Luas) berkata Ops Sumber Air dijalankan selepas menerima laporan insiden pencemaran di Sungai Langat pada jam 11.50 pagi semalam.

Menurutnya, hasil siasatan dijalankan bersama Jabatan Alam Sekitar (Jas), Pengurusan Air Selangor dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mendapati pencemaran berpunca dari Stesen Jana Kuasa Kuala Langat.

“Siasatan di kawasan itu telah menemukan sisa tumpahan yang disyaki minyak diesel di premis tersebut dan dimaklumkan wakil premis bahawa insiden berlaku melibatkan tumpahan minyak daripada peralatan pemisah minyak ekoran kekerapan hujan lebat.

“Wakil premis memaklumkan pihaknya telah mengambil tindakan pembersihan segera dengan memasang ‘oil boom’ berdekatan dengan kawasan pelepasan akhir stesen janakuasa tersebut.

“Aliran sisa minyak diesel berjaya dikawal dan tidak mengalir ke Sungai Langat yang mana kerja-kerja pembersihan dan penyedutan baki sisa minyak sudah dijalankan oleh premis tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Luas, pihak premis turut memaklumkan menggunakan ‘oil pad’ dan akan meletakkan karbon aktif (AC) berhampiran premis untuk mengawal pencemaran.

“Pemantauan rapi dari semasa ke semasa dilakukan Luas bersama agensi berkaitan bagi memastikan tiada henti tugas loji dan gangguan bekalan air,” katanya

Menurut Luas, Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam memastikan kelangsungan sumber air di Selangor dan menyeru kepada semua agar prihatin terhadap kawasan- kawasan sensitif sumber air negeri terutamanya sungai.

“Laporkan sebarang aktiviti mencurigakan yang berpotensi menyumbang kepada pencemaran sumber air agar insiden pencemaran dapat dielakkan,” katanya.


Pengarang :