AGENDAEKONOMINASIONAL

Pendigitalan ketika perintah kawalan tingkat ekosistem perniagaan – MDEC

KUALA LUMPUR, 6 MEI: Langkah pengadaptasian digital ekonomi yang semakin pesat berkembang ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) turut memberi peluang besar kepada pengusaha dan pembeli memperkukuhkan hubungan dalam ekosistem perniagaan negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Surina Shukri berkata platform digital juga berperanan sebagai pemboleh daya yang kuat terhadap penambahbaikan sistem penawaran dan permintaan yang secara tradisionalnya melibatkan ramai dalam pelbagai rantaian bertingkat.

“Dalam perniagaan tradisional terdapat banyak orang tengah…jadil agak susah untuk barangan terus dapat dicapai ke pasaran.

“Kehebatan digital ini adalah dari segi kesalinghubungan dan perdagangan yang mana peniaga boleh terus berhubung dengan pelanggan. Kita boleh singkatkan jarak dan merapatkan lagi jurang dalam rantaian bekalan untuk pelanggan,” katanya dalam satu webinar hari ini.

Webinar bertajuk Mendepani Kelaziman Baharu Dunia anjuran Astro Awani itu turut disertai oleh Felo Akademi Sains Malaysia Dr Madeline Berma dan Pengarah Urusan Cyberview Sdn Bhd Najib Ibrahim.

Surina turut menggesa peniaga tempatan terutama pengusaha kecil dan sederhana serta pengusaha mikro untuk berani mencuba platform digital sebagai satu alternatif baharu dalam memasarkan produk mereka dan terus menjana pendapatan ketika krisis ini.

Beliau juga menyarankan peniaga untuk menetapkan minda dan berinovasi dalam berniaga dan berfikiran jauh selain daripada bertindak memasarkan produk secara bayaran tunai ketika penghantaran yang disifatkannya kurang memberi pulangan besar untuk mereka.

“Kita perlu kurangkan jurang pendigitalan dalam kalangan pengusaha tempatan. Kita perlu sediakan infrastuktur dan kandungan bagi tujuan pembelajaran e-dagang ada secara percuma dan dalam talian.

“Tetapi syarat paling penting adalah mereka perlu ada keyakinan untuk mencuba dan tidak boleh berputus asa. Jika tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya,” kata beliau.

– BERNAMA


Pengarang :