Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan sumbangan juadah berbuka puasa kepada wakil penduduk di Pusat Khidmat Dun Sungai Tua, Batu Caves pada 8 Mei 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Penduduk Sungai Tua dibekal juadah berbuka puasa setiap hari

BATU CAVES, 8 MEI: Sebanyak 500 bungkus juadah berbuka puasa diagihkan kepada penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua mulai hari ini hingga berakhirnya Ramadan.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sumbangan difokuskan kepada golongan yang terjejas pendapatan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Makanan mula diedarkan kepada penduduk kampung hari ini sehingga akhir Ramadan melalui wakil penduduk atau ketua kampung.

“Sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan tekanan mereka yang berdepan masalah pendapatan akibat PKP,” kata beliau selepas serahan juadah berbuka puasa di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sungai Tua di sini hari ini.

Amirudin yang juga Ahli Dewan Negeri Sungai Tua berkata bantuan tersebut sebagai menggantikan program berbuka puasa yang dilakukannya bersama penduduk setempat setiap tahun.

“Sebelum ini, saya sering mengadakan program berbuka dengan komuniti, jadi bagi menggantikannya kita menyerahkan juadah (berbuka) kepada keluarga di kampung dan kawasan yang dikenal pasti,” katanya.


Pengarang :