Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis), Datin Seri Masdiana Muhamad menyampaikan sumbangan raya di Pusat Khidmat Rakyat DUN Sungai Tua, Batu Caves pada 19 MEI 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Penerima hargai kuih, duit raya sumbangan Pekawanis

BATU CAVES, 19 MEI: Penerima kuih dan duit raya Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) bersyukur dan menghargai sumbangan yang mengurangkan beban perbelanjaan mereka.

Penerima, Madinah Kassim, 63, berkata sumbangan tersebut akan melengkapkan sambutan Aidilfitri keluarganya tahun ini.

Madinah Kassim

“Alhamdulillah. Ini kali pertama saya terima bantuan daripada Pekawanis. Sekurang-kurangnya, bantuan duit raya ini boleh beli keperluan anak dan adik yang juga orang kelainan upaya (OKU),” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Sementara itu, Siti Hafizah Mokhtar, 53, yang mewakili ibunya, memuji langkah Pekawanis memilih penerima yang berlainan  setiap tahun dan dalam kalangan mereka yang benar-benar layak.

“Setiap tahun penerima berbeza-beza. Ini adil dan bantuan sampai ke golongan memerlukan.Terima kasih kepada Pekawanis dan Pejabat Dato’ Menteri Besar atas sumbangan ini,” katanya.

Terdahulu seramai 30 ibu tunggal dan asnaf di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua menerima bantuan duit raya disampaikan Yang Dipertua Pekawanis, Datin Seri Masdiana Muhamad.

Isteri Dato’ Menteri Besar turut menyampaikan sumbangan kuih raya dan bubur lambuk dari Pejabat Dato’ Menteri Besar.

Pada tahun ini, Pekawanis memperuntukkan RM144,000 untuk disumbangkan kepada 30 penerima di 48 DUN negeri ini.


Pengarang :