AGENDANASIONAL

Pengangkutan awam selamat digunakan sepanjang PKP Bersyarat

KUALA LUMPUR, 4 MEI: Kementerian Pengangkutan memberi jaminan perkhidmatan pengangkutan awam negara kekal boleh diharap dan selamat digunakan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula hari ini.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata pihak kementerian sentiasa bersiap siaga dan memastikan operator mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan kerajaan termasuk semua pengangkutan awam disanitasi dengan kerap.

Beliau turut meminta pengguna memberi kerjasama dengan mematuhi SOP seperti mengamalkan jarak sosial dan memakai penutup hidung dan mulut dalam mengekang penularan wabak Covid-19.

“Walaupun dari segi undang-undang sukar untuk kita cakap wajib (pakai penutup hidung dan mulut) tetapi untuk pengangkutan awam kita wajibkan.

“Kita dah dapatkan pandangan pakar bagaimana (pemakaian) penutup hidung dan mulut dapat mencegah (penularan Covid-19), ” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan di stesen MRT Bukit Bintang di sini, hari ini. Terdahulu Wee turut meninjau operasi di MRT Taman Mutiara dan MRT Muzium Negara.

Beliau berkata walaupun kapasiti pengangkutan awam dikurangkan kepada separuh penumpang, waktu puncak bagi semua perkhidmatan rel dan bas telah dilanjutkan dari 7 pagi hingga 11 pagi, dan dari 4 petang hingga 7 malam.

Sementara itu, Wee mencadangkan agar individu yang didapati bersalah memandu di bawah pengaruh alkohol hingga menyebabkan kematian dikenakan hukuman penjara mandatori.

Katanya beliau juga telah mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan untuk meneliti Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 khususnya Seksyen 41 hingga 45 untuk dipinda sekiranya perlu bagi mengenakan hukuman lebih berat bagi kesalahan seumpama itu.

Ketika ini Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga 10 tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM20,000 bagi kesalahan berkenaan.

– BERNAMA


Pengarang :