Imam Besar Masjid Negara Ehsan Mohd Hosni mengimamkan solat Jumaat dengan mematuhi SOP dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Masjid Negara pada 15 Mei 2020. Foto BERNAMA
AGAMAAGENDANASIONAL

Penganjur dinasihat sedia ruang cukup media, had hadir

SHAH ALAM, 16 MEI: Kerajaan menasihatkan penganjur yang memanggil liputan media supaya menyediakan ruang secukupnya atau mengehadkan kehadiran mereka pada satu-satu majlis, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata penganjur juga perlu menyediakan tempat bertanda bagi mengelak petugas media bersesak-sesak sehingga tiada penjarakan sosial.

“Kita akan bincang dengan penganjur, (pada masa sama) media juga tahu SOP (tatacara operasi piawai) kalau nampak ruang sempit, tak perlu masuk dan penganjur kena hadkan jumlah media pada satu-satu masa,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas gambar tular di media sosial menunjukkan sekumpulan petugas media bersesak-sesak di dalam masjid ketika mengambil gambar solat Jumaat, semalam.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata pihaknya mendapati semua 25 masjid dan surau di Wilayah Persekutuan yang mula melaksanakan solat Jumaat semalam mematuhi SOP.

Beliau berkata pihaknya ada menerima aduan sebuah masjid di luar Wilayah Persekutuan yang tidak membenarkan jemaah masuk untuk solat di luar pekarangan masjid.

“SOP sudah dikeluarkan, nama yang tidak tersenarai (untuk solat di masjid) tak perlu pergi ke masjid. Kita juga setuju setiap kali solat Jumaat dan lain-lain polis serta anggota Rela akan kawal bagi memastikan pematuhan SOP,” katanya.


Pengarang :