Petugas KKM memasuki kawasan sekitar perkampungan di Chow Kit untuk memanggil penduduk melakukan saringan Covid -19 bagi membendung wabak tersebut ketika tinjauan pada 7 Mei 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pengawal keselamatan warga asing wajib jalani saringan Covid-19

SHAH ALAM, 8 MEI: Semua pengawal keselamatan warga asing diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19 bagi mencegah penularan wabak, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat hari ini susulan kluster baharu dikenal pasti membabitkan pengawal keselamatan di pusat membeli-belah di Cheras.

“Hari ini mesyuarat putuskan semua pengawal keselamatan warga asing wajib jalani saringan Covid-19. Kementerian Dalam Negeri akan keluarkan arahan kepada syarikat kawalan keselamatan.

“Ini kerana kita tahu pengawal keselamatan berjumpa ramai orang termasuk di pasar raya, mereka yang mengambil suhu badan pelanggan di pintu masuk,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Ismail Sabri berkata untuk kluster pengawal keselamatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah mengasingkan mereka yang terlibat dan positif Covid-19 malah ujian calitan bagi kontak rapat juga sudah dilakukan.

Semalam, KKM mengenal pasti 10 kes baharu membabitkan pengawal keselamatan. Seorang daripadanya ialah rakyat tempatan manakala selebihnya warga Nepal yang tinggal di kediaman sama.


Pengarang :