Gambar Hiasan
AGENDANASIONAL

Pengetua, guru besar perlu tolak ansur arah guru kembali bertugas

KUALA LUMPUR, 10 MEI: Pengetua dan guru besar (PGB) perlu menggunakan budi bicara sewajarnya menentukan keperluan guru yang tinggal jauh kembali ke stesen bertugas dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pengerusi Gabungan Alumni Sekolah-Sekolah Berasrama Penuh Malaysia, Dr Ab Wahab Che Mat berkata ini kerana proses Pengajaran dan Pembelajaran (PnP) boleh dilakukan secara dalam talian di mana sahaja hatta di kampung sekalipun dan tiada keperluan mendesak untuk memanggil guru berada di stesen bertugas pada waktu ini.

“PGB boleh memanggil guru dalam kuantiti seminimum yang boleh untuk membantu urusan pentadbiran yang dirasakan benar-benar penting di sekolah ketika ini. Namun, sekiranya sesuatu perkara itu boleh lagi dibincangkan melalui dalam talian, ia harus terus dilakukan melalui kaedah itu.

“Keutamaan buat guru kini ialah meneruskan sesi pembelajaran seperti biasa di rumah sehinggalah sekolah dibuka kelak, jadi dengan ini ia sedikit sebanyak mengurangkan kesulitan guru yang sudah berada di kampung untuk berfikir pulang bertugas dalam waktu terdekat,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu yang tular dalam media sosial bahawa terdapat arahan daripada PGB supaya guru kembali ke stesen bertugas iaitu kediaman terdekat dengan sekolah kerana semua pejabat kerajaan telah dibuka bermula pada 4 Mei termasuk premis sekolah.

Perkara itu juga menimbulkan kesulitan kepada guru khususnya mereka yang terkandas di negeri untuk pulang kembali bertugas sedangkan tiada keperluan mendesak buat waktu ini termasuk urusan sesi persekolahan yang ditutup ekoran penularan wabak Covid-19.

Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran pula berpendapat walaupun guru terikat dengan Aku Janji iaitu bersedia berkhidmat jika dipanggil bertugas seperti mana penjawat awam lain, namun perkara itu perlu dilihat dalam konteks semasa.

Beliau berkata ia perlu dilihat dengan kenyataan Perdana Menteri pada 1 Mei lepas di mana kerajaan mengutamakan kakitangan awam untuk bekerja dari rumah kecuali bagi proses kerja yang memerlukan keberadaan di pejabat dan mesyuarat juga digalakkan diadakan secara dalam talian.

“Saya rasa semua guru faham dengan Aku Janji sebagai penjawat awam, tapi disebabkan situasi semasa pandemik Covid-19, bukan dalam keadaan normal, ia tidak boleh diaplikasikan 100 peratus, kena akur dengan Tatacara Operasi Piawai (SOP) semasa yang lebih penting.

“Jadi saya berharap PGB faham perkara ini dengan perancangan betul dan teliti pentadbiran sekolah itu masih boleh diteruskan dan guru boleh meneruskan tugas mereka di rumah secara dalam talian sehingga satu tarikh yang sesuai diumumkan oleh pihak kementerian,” katanya.

Mantan Ketua Pengarah Pendidikan Tan Sri Dr Wan Wan Mohd Zahid Mohd Noordin pula berpandangan isu ini timbul kerana tidak ada ‘sumber autoriti’ sehingga berlaku percanggahan pendapat di peringkat bawahan termasuk PGB.

“Kita tidak mahu sesuatu arahan menjadi kelam kabut apa yang patut buat, ada rungutan sana sini dan menyebabkan pentadbiran lintang pukang. Jadi pihak atasan Kementerian Pendidikan perlu keluarkan satu garis panduan yang jelas dan akhirnya kecacatan sifar dapat dicapai,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :