AGENDANASIONAL

Penggambaran filem, iklan dibenarkan, terhad 20 orang

SHAH ALAM, 20 MEI: Kerajaan membenarkan aktiviti penggambaran filem, drama dan iklan dilakukan selepas Aidilfitri pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tetapi terhad kepada 20 orang.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pihak produksi perlu melantik seorang penyelia keselamatan bagi memastikan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) pada semua peringkat seperti ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Antara SOP perlu dipatuhi adalah melakukan mesyuarat dan uji bakat secara dalam talian, mengemukakan rekod perjalanan semua tenaga produksi dan artis bagi tempoh empat minggu sebelum penggambaran dan memastikan tidak lebih daripada 20 orang termasuk artis terlibat dalam setiap sesi penggambaran,” katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Keputusan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri turut menyatakan perkhidmatan makanan secara hidang bagi petugas dan artis tidak dibenarkan kecuali secara pek individu.

Selain itu, jurusolek dan penata rias juga perlu menggunakan pelindung muka plastik serta mencuci tangan sebelum dan selepas menyolek dan menata rias setiap artis.

Ismail Sabri menjelaskan penggambaran, rakaman pentas dan persembahan secara langsung yang melibatkan tontotan ramai termasuk di studio masih tidak dibenarkan.


Pengarang :