Pengunjung Pasaraya Giant Seksyen 7, Shah Alam mengambil peluang membeli keperluan harian selepas tamat waktu bekerja dan mematuhi penjarakan sosial serta aspek keselamatan lain yang telah ditetapkan di sana pada 5 Mei 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDAEKONOMINASIONAL

Pengguna diramal tangguh beli barangan bukan keperluan utama – Ideas

KUALA LUMPUR, 10 MEI: Malaysia mungkin menyaksikan trend normal baharu pada masa depan apabila pengguna menolak atau menangguhkan pembelian barangan mewah atau barangan dan perkhidmatan dikategorikan sebagai bukan keperluan utama.

Pengurus Penyelidikan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) Lau Zheng Zhou berkata rasa bimbang itu perlu ditangani kerana membabitkan pandemik dan keselamatan pekerjaan yang merupakan faktor penting untuk mendorong kejayaan pelan pemulihan ekonomi.

“Pemulihan ekonomi kita juga turut bergantung kepada pemulihan ekonomi global. Negara-negara maju ketinggalan dari segi pemulihan pandemik ini. Kerajaan perlu memberi keyakinan dan kepercayaan kepada rakyat bahawa mereka mampu memerangi risiko kepada kesihatan dan ekonomi.

“Sekiranya kita mengambil iktibar daripada krisis terdahulu misalnya krisis kewangan Asia, negara-negara membangun termasuk Malaysia bergantung kepada eksport untuk pulih. Keadaan itu mungkin tidak berlaku hari ini. Namun, di peringkat tempatan, rasa bimbang itu kekal sebagai halangan utama kepada pemulihan ini,” katanya ketika ditemubual di siaran berita Bernama TV semalam.

Menurutnya penggunaan swasta menyumbang hampir 60 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan perniagaan bergantung kepada unjuran ini untuk merancang pelaburan dan penggunaan pada masa depan.

-BERNAMA


Pengarang :