Kakitangan pusat kesihatan daerah membuat saringan ke atas peniaga dan penguat kuasa yang disyaki menjadi kontak rapat kepada pesakit Covid-19 di dua pasar di Petaling Jaya. Foto Facebook MBPJ
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Peniaga, pekerja Pasar Besar Jalan Othman wajib hadir saringan Covid-19 esok

SHAH ALAM, 6 MEI: Pejabat Kesihatan Daerah Petaling akan mengadakan pemeriksaan dan persampelan Covid-19 sesi terakhir untuk peniaga dan pekerja di Pasar Besar Jalan Othman, Petaling Jaya esok.

Majlis Bandaraya Petaling Jaya memaklumkan semua mereka atau pembantu di pasar berkenaan yang belum menjalani pemeriksaan dan persampelan tersebut diwajibkan hadir bermula jam 9 pagi hingga 12 tengah hari.

“Bagi golongan berkaitan yang telah membuat persampelan di mana-mana hospital atau klinik swasta sebelum ini turut diwajibkan hadir dan bawa bersama keputusan persampelan berkenaan,” katanya menerusi Facebook malam tadi.

Semalam, ketua pengarah kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebanyak 24 kes Covid-19 daripada kluster Pasar Borong Kuala Lumpur dikesan di dua pasar di Petaling Jaya, Selangor.

Beliau berkata 23 kes direkodkan di Pasar Besar Jalan Othman dan satu kes di Pasar Taman Megah, Petaling Jaya.


Pengarang :