AGENDANASIONAL

Peralatan elektrik tiada logo Sirim undang padah – Fomca

KUALA LUMPUR, 14 MEI: Peningkatan secara mendadak pembelian peralatan elektrik oleh pengguna secara dalam talian sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu menimbulkan kerisauan sesetengah pihak kerana peralatan elektrik yang tidak mempunyai logo kelulusan SIRIM-ST dikhuatiri mengundang padah.

Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menyifatkan peralatan elektrik yang tiada logo SIRIM-ST ibarat bom jangka yang sangat berbahaya kepada pengguna kerana pada bila-bila masa ia boleh mengakibatkan litar pintas.

“Hal ini adalah kerana barangan tersebut tidak melalui ujian ketahanan dan keselamatan mengikut piawaian keselamatan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

FOMCA mengingatkan pengguna untuk membuat semakan logo SIRIM-ST pada peralatan dan wayar penyambung terlebih dahulu sebelum membeli.

“Telah menjadi trend pembelian panik sebiji air fryer. Semenjak PKP berkuat kuasa, setiap rumah mesti ada sebiji air fryer atau mungkin lebih dari satu! Bukan sahaja air fryer malah kelengkapan peralatan elektrik untuk membuat kek atau kuih juga turut menjadi kelengkapan asas bagi pengguna yang mula bekerja dari rumah,” menurut Fomca.

FOMCA memberitahu pada tahun 2018 didapati sebanyak 58 peratus peralatan elektrik tidak mempunyai logo kelulusan SIRIM-ST.

-BERNAMA

Sumber Grafik: SIRIM

Pengarang :