Dato’ Seri Amirudin Shari diiringi Setiausaha Kehormat Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Selangor, Daing Mohamad Reduan Bachok berbual mesra bersama beberapa pegawai daerah selepas selesai menyerahkan Sumbangan Kasih Ramadan PEMADAM Selangor di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar, Shah Alam pada 12 Mei 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Perintah kawalan mudahkan Selangor kesan warga asing berniaga

SHAH ALAM, 12 MEI: Kerajaan Negeri memanfaatkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) untuk mengesan warga asing yang menjalankan perniagaan di Selangor, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata isu itu sudah dibincangkan tahun lalu namun penguatkuasaan masih belum dapat dibuat dengan baik berikutan jumlah penguat kuasa pihak berkuasa tempatan yang tidak mencukupi dan memerlukan kerjasama semua pihak.

“Penguat kuasa majlis terhad antara 200 hingga 300 orang dan maksimum 500. Kena ada kerjasama semua pihak. Imigresen jaga pintu, polis lakukan kawalan dan ambil tindakan. Untuk penguatkuasaan gerai tidak berlesen dan pasar ia memerlukan masa,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Sumbangan Kasih Ramadan hari ini.

Mengulas lanjut, Dato’ Menteri Besar berkata Kerajaan Negeri tidak pernah memberikan lesen berniaga kepada warga asing namun ada pihak lain mengeluarkan dan memperdagangkan lesen perniagaan bagi tujuan itu sebelum ini.

“Selangor hanya berikan lesen kepada warga asing jalankan perniagaan besar seperti Panasonic yang membuat pelaburan tinggi. Perniagaan runcit dan penjaja memang dihadkan untuk warga tempatan,” katanya.


Pengarang :