Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari melawat dan menyampaikan makanan kepada petugas barisan hadapan di kawasan PKPD Selayang Baru, Gombak pada 1 Mei 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI Balai Penghulu Mukim Batu, Gombak pada 1 Mei 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pesakit baharu Covid-19 di Selangor melonjak 63 kes

SHAH ALAM, 2 MEI: Selangor kembali mencatat peningkatan pesakit Covid-19 apabila merekodkan 63 kes baharu hari ini, enam daripadanya kes import.

Menurut data Bilik Gerakan Negeri Selangor (BGNS), kes import membabitkan rakyat Malaysia yang baru pulang dari Indonesia, Kemboja, Mesir, New Zealand, Australia dan China.

“Bagi kes tempatan, Gombak merekodkan angka tertinggi iaitu 37 kes diikuti Kuala Selangor (13), Petaling (lima) dan Klang (dua).

“Keseluruhan kes negeri ini meningkat kepada 1,518 dengan 1,251 pesakit pulih dan dibenar keluar hospital,” jelas BGNS.

Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) pula memaklumkan peningkatan kes baharu berbanding semalam sudah diduga ekoran saringan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Kenaikan yang dapat dijangka kerana saringan di PKPD namun ia terkawal dengan baik. Sentiasa patuh PKP, jangan leka!” tulis BGNS di Twitter.

Kes baharu Covid-19 di Malaysia melonjak kepada 105 hari ini, 11 daripadanya membabitkan kes import.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan Malaysia mencatatkan 6,176 kes sehingga kini dengan 4,326 daripadanya (70 peratus) pulih dan dibenarkan keluar wad.

 


Pengarang :