Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di KKM, Putrajaya pada 6 April 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pesakit baharu Covid-19 melonjak 122 kes hari ini

SHAH ALAM, 3 MEI: Sebanyak 122 kes baharu Covid-19 direkodkan hari ini dengan 70 kes adalah penularan tempatan manakala bakinya kes import, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah keseluruhan kes semasa kini meningkat kepada 6,298 dengan 87 orang pulih dan dibenarkan keluar hospital hari ini.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya dan dibenarkan keluar hospital sebanyak 4,413 atau 70 peratus daripada jumlah keseluruhan pesakit,” katanya pada sidang media harian mengenai Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Kata beliau, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan pula adalah 1,780 kes dan kumpulan ini telah diasingkan dan diberi rawatan.

Beliau berkata, setakat ini, seramai 27 pesakit dirawat di unit rawatan rapi dengan 13 orang memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, Pusat Kesiagaan dan Tindakan Krisis Kebangsaan (CPRC) merekodkan dua kematian sehingga jam 12 tengah hari tadi menjadikan jumlah kumulatif angka korban 105 kes atau 1.66 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Dua kematian tersebut ialah:

• Kes kematian ke-104 (kes ke-5,539) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 82 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan penyakit jantung. Beliau dirawat di Hospital Sungai Buloh pada 22 April dan disahkan meninggal dunia pada 2 Mei jam 6.29 petang.

• Kes kematian ke-105 (kes ke-5,837) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 64 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang. Beliau dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban pada 27 April dan disahkan meninggal dunia pada 3 Mei jam 9.46 pagi.

Kes baharu  Covid-19 mula melonjak semula  bermula semalam apabila Kementerian Kesihatan merekodkan 105 kes  dengan 11 daripadanya membabitkan kes import.


Pengarang :