Selangorkini
Suasana di sekitar perumahan Bandar Baru Selayang yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ketika tinjauan SelangorKini pada 29 April 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Pesalah PKP tiada rekod sebagai banduan

KAJANG, 4 MEI: Individu yang dikenakan tindakan mahkamah dan menjalani hukuman di penjara kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak direkodkan sebagai banduan.

Ketua Pengarah Penjara Datuk Seri Zulkifli Omar berkata ada pesalah dalam kalangan remaja dan boleh menjejaskan masa depan mereka jika direkodkan sebagai banduan.

“Apabila ada rekod (banduan) nanti, mereka (remaja) susah nak cari kerja, itu yang kami ambil kira, jadi tiada rekod banduan untuk mereka,” katanya kepada pemberita selepas program Ziarah Sahabat Penjara di Penjara Kajang di sini hari ini.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador mengesahkan nama pesalah PKP tidak dimasukkan dalam sistem rekod jenayah Polis Diraja Malaysia.

Abdul Hamid berkata meskipun nama tidak direkodkan, ia bukanlah ‘tiket’ untuk orang ramai ingkar PKP yang dilaksanakan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Sementara itu, Zulkifli berkata 11 penjara sementara di seluruh negara digunakan sebagai pusat tahanan baharu dengan lebih 300 individu berada di Penjara Kajang dan Penjara Sementara Maktab Penjara Malaysia.

-BERNAMA


Pengarang :