AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Petaling, Klang, Hulu Langat dan Gombak catat kes denggi tinggi

SHAH ALAM, 14 MEI: Petaling, Klang, Hulu Langat dan Gombak adalah daerah yang mencatatkan kes denggi tinggi di Selangor dengan jumlah keseluruhan 21,323 sehingga 9 Mei lalu.

EXCO kesihatan, Dr Siti Mariah Mahmud berkata daripada jumlah itu, Petaling mencatatkan kes tertinggi iaitu 8,385 diikuti Klang (4,963), Hulu Langat (4,162) dan Gombak (3,813).

Dr Siti Mariah Mahmud berucap ketika Majlis Apresiasi Sedekad Pusat Wanita Berdaya di Shah Alam Convention Centre pada 7 Mac 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Bagaimanapun, kes denggi di Selangor menurun sebanyak 11 peratus bersamaan 710 kes dari minggu epidemik 18 kepada minggu epidemik 19. Dalam tempoh sama tiada kematian dilaporkan menjadikan jumlah kematian kekal 27 kes,” kata beliau di Facebook.

Sementara itu, lima lokasi dikenal pasti menjadi kawasan panas denggi membabitkan taman rekreasi, kawasan-kawasan tumpuan awam, tanah lot kosong, kilang atau gudang dan tempat pembuangan sampah.

Siti Mariah berkata selain mencegah Covid-19, penduduk juga perlu mengamalkan langkah pencegahan daripada digigit nyamuk aedes terutama yang berada di lokasi panas wabak denggi.

“Amalkan langkah-langkah pencegahan seperti menggunakan ubat penghalau nyamuk selain memastikan kawasan rumah dan persekitaran bersih dan bebas daripada menjadi tempat pembiakan aedes,” katanya.


Pengarang :