Antara petugas MPSJ yang menjalani pemeriksaan kesihatan dan ujian saringan Covid-19 menggunakan Unit COMBAT dibangunkan Hospital UiTM Sungai Buloh. – Foto MPSJ
PBTSELANGOR

Petugas MPSJ jalani pemeriksaan kesihatan, saringan Covid-19

SHAH ALAM, 15 MEI: Seramai 350 petugas barisan hadapan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menjalani pemeriksaan kesihatan dan ujian saringan Covid-19 dengan kerjasama Hospital Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sungai Buloh.

Bagi tujuan itu, hospital terbabit menghantar Unit Saringan Mudah Alih Coronavirus (Unit Combat) yang dibangunkannya untuk pemeriksaan kesihatan serta ujian saringan fasa pertama, bermula 12 Mei hingga hari ini.

“Pemeriksaan kesihatan dan ujian saringan Covid-19 ini membabitkan pegawai dan kakitangan MPSJ yang berhadapan dan berinteraksi dengan orang awam semasa menjalankan tugas di lapangan,” kata pihak berkuasa tempatan itu hari ini.

MPSJ berkata inisiatif itu adalah penghargaan dan kebajikan ditawarkan kepada pegawai dan kakitangan yang melaksanakan tugas dengan penuh komited dan dedikasi serta terdedah kepada risiko jangkitan Covid-19.

Unit Combat adalah revolusi unit ujian mudah alih yang tidak perlu menggunakan peralatan perlindungan peribadi (PPE) bagi mendapatkan sampel pesakit dan boleh digunakan di mana sahaja.

Melalui Unit Combat ini, hanya 10 minit diperlukan bagi pemeriksaan ke atas seseorang individu, sekali gus menjimatkan masa tanpa perlu menunggu lama untuk pemeriksaan dijalankan.


Pengarang :