Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) memberi sumbangan 11,000 bungkus juadah berbuka puasa kepada rumah perlindungan asnaf dan anak yatim di Selangor pada 18 Mei 2020. Foto ihsan PKNS
AGENSISELANGOR

PKNS agih 11,000 bungkus juadah buka puasa kepada anak yatim, asnaf

SHAH ALAM, 19 MEI: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) memberi sumbangan 11,000 bungkus juadah berbuka puasa kepada rumah perlindungan asnaf dan anak yatim di negeri ini sepanjang Ramadan.

Agensi itu dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya memperuntukkan RM150,000 bagi melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Kasih PKNS.

“Inisiatif ini adalah dengan kerjasama dua anak syarikat PKNS iaitu Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) dan Hotel De Palma yang sama-sama menyediakan hidangan sebelum diagihkan kepada setiap rumah perlindungan.

“Walaupun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membataskan penganjuran majlis keraian, PKNS mengambil inisiatif menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan terutamanya golongan asnaf,” katanya.

PKNS meneruskan kesinambungan program Kasih pada bulan Ramadan dengan mempertingkatkan usaha murni tanggungjawab korporat dan berkongsi rezeki dengan membantu golongan yang memerlukan agar mereka turut dapat merasai nikmat Ramadan.

Juadah berbuka puasa itu juga turut diagihkan kepada Lembaga Zakat Selangor yang mendukung usaha murni yang diterajui  agensi tersebut.


Pengarang :