AGENSISELANGOR

PKNS bantu tiga asnaf terkesan perintah kawalan

SHAH ALAM, 5 MEI: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyampaikan sumbangan bernilai RM14,250 kepada tiga komuniti asnaf di negeri ini, semalam yang terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Anak syarikat Kerajaan Negeri itu dalam kenyataan memaklumkan sumbangan diberikan adalah berupa barangan keperluan asas bagi memudahkan kelangsungan hidup mereka.

“Ini adalah sebahagian program tanggungjawab sosial korporat kami di bawah jenama Kasih PKNS dan nilai sumbangan adalah hasil peruntukan sebahagian wang zakat perbadanan,” katanya.

Antara penerima terbabit ialah daripada kalangan penduduk Kawasan Rukun Tetangga Taman Dagang, Persatuan Penduduk Rumah Pangsa Taman Keramat dan ahli kariah Masjid Darul Tahsis, Pulau Carey.

Ia disampaikan Ketua Pegawai Korporat PKNS merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Wang Zakat PKNS, Siti Zubaidah Abd Jabar di Dataran Barat, SACC Mall, Shah Alam di sini.


Pengarang :