Pengurus Besar Perhubungan Korporat PKNS Roziah Ahmad (kiri) menyerahkan sumbangan kelengkapan PPE kepada wakil pusat kesihatan pada 29 April 2020. Foto PKNS
AGENSI SELANGOR

PKNS sumbang sut lindung diri untuk petugas hadapan

SHAH ALAM, 1 MEI: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyumbang 4,000 sut peralatan perlindungan diri (PPE) bernilai RM120,000 kepada petugas barisan hadapan bagi mencegah wabak Covid-19, kata ketua pegawai korporatnya.

Siti Zubaidah Abd Jabar berkata ia meliputi pelindung muka, baju dan sarung kasut yang sebahagian dana pembeliannya daripada anak syarikat dan persatuan di bawah perbadanan tersebut diagihkan kepada petugas di Hospital Shah Alam, Hospital Serdang, Hospital Banting dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah serta beberapa pusat kesihatan lain.

“PKNS sedar kepentingan set perlindungan tersebut kepada petugas barisan hadapan, atas sebab itu kita terus tampil menghulurkan bantuan kepada hospital dan pusat kesihatan terlibat.

“Selaras dengan slogan ‘Membina Komuniti, Memperkasa Kehidupan, Merealisasi Impian’, sumbangan ini sebagai tanda keprihatinan dalam membantu mengurangkan risiko jangkitan kepada petugas barisan hadapan semasa menjalankan tugas,” katanya kepada SelangorKini.

Katanya, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu juga selaras aspirasi dan usaha Kerajaan Negeri bagi memerangi pandemik berkenaan menerusi program khas diumum Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari tempoh hari.

Beliau turut memaklumkan pihaknya akan menggerakkan beberapa program sumbangan kepada mereka yang terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) supaya dapat menjalani ibadah puasa dengan tenang.


Pengarang :