Lebuhraya Persekutuan dipenuhi kenderaan di kedua-dua arah pada waktu petang ketika tinjauan pada 5 Mei 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PKP Bersyarat dilonggar tak bermakna kembali cara hidup asal

KUALA LUMPUR, 10 MEI: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 4 Mei lepas, yang menyaksikan sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial dibenarkan untuk beroperasi semula, bukanlah bermakna orang ramai boleh kembali kepada kehidupan mereka sebelum PKP dikuatkuasakan.

PKP dikuatkuasakan selama 47 hari bermula 18 Mac bagi membendung penularan virus Covid-19 dan setelah melalui empat fasa dengan peraturan yang ketat dan menunjukkan kejayaan dalam memastikan jangkitan Covid-19 semakin berkurangan, PKPB dilaksanakan pula dengan kelonggaran tertentu tetapi perlu mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Kementerian Kesihatan (KKM).

Keputusan diambil kerajaan itu pastinya berdasarkan garis panduan antarabangsa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan nasihat daripada Kementerian Kesihatan (KKM) serta Majlis Keselamatan Dalam Negeri yang mana pematuhan terhadap SOP perlu dititikberatkan oleh semua majikan dan pekerja serta orang ramai.

Pengarah Pejabat Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Mohd Rafee Baharudin berkata kelonggaran beroperasi yang diberikan kerajaan kepada syarikat dalam tempoh PKPB bukan lesen untuk memulakan operasi seperti sedia kala.

“Majikan mestilah mempunyai mekanisme bagi memantau setiap pekerja mereka supaya sentiasa mematuhi SOP KKM. Satu pemeriksaan ke atas pematuhan itu mestilah dibuktikan oleh majikan kepada pihak berkuasa yang dilantik.

“Perkara ini sangat penting memandangkan tahap pengetahuan dan kesedaran dalam kalangan pekerja adalah berbeza-beza. Perbezaan kefahaman dan amalan menjaga kebersihan ini perlu diberi keutamaan yang sewajarnya oleh majikan,” katanya kepada Bernama.

Mohd Rafee berkata setiap pekerja juga hendaklah menjalani latihan kesedaran dan membuat akujanji akan mematuhi setiap langkah pencegahan penularan virus Covid-19.

“Sikap buat tidak tahu atau mengambil jalan mudah akan memungkinkan bakal wujud satu kluster baharu di tempat kerja,” katanya.

Beliau turut menasihatkan pekerja mengamalkan aspek pengurusan kendiri seperti mengisytihar status kesihatan harian dengan jujur dan sekiranya mempunyai gejala demam, batuk, sakit tekak dan kesukaran bernafas, segera maklumkan kepada majikan untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Bagi Timbalan Pengarah Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) Prof Dr Jamal Othman, PKPB adalah satu pendekatan menyeimbangkan keperluan untuk aktiviti ekonomi berfungsi demi kelangsungan mata pencarian dan keperluan untuk membendung penularan wabak Covid-19.

“Kita menganggap pandemik ini akan terus bersama kita untuk satu tempoh yang agak lama. Namun ekonomi perlu dibenarkan berfungsi secara terkawal demi kemaslahatan dan kesejahteraan masyarakat.

“Jika PKP diteruskan, misalnya untuk dua minggu lagi tanpa stimulus ekonomi, negara boleh mengalami kerugian sebesar dua peratus daripada nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya.

Beliau, yang juga Ketua Kluster Ekonomi dan Kesejahteraan Sosial Akademi Profesor Malaysia berkata, tiba masanya kerajaan melaksanakan PKPB setelah mengambil kira petunjuk-petunjuk kesihatan dan keperluan membuka ekonomi demi kelangsungan mata pencarian rakyat.

Bagaimanapun, katanya sangat penting difahami PKPB tidak bermakna rakyat telah keluar daripada PKP, bahkan mereka perlu memberikan kerjasama untuk mematuhi syarat-syarat PKPB agar penularan pandemik Covid-19 dapat terus dibendung.

Dalam pada itu beliau juga senada dengan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang menyatakan keputusan membenarkan sebahagian aktiviti ekonomi disambung kembali mulai 4 Mei lepas bukan satu tindakan tergesa-gesa memandangkan kerajaan telah mengkaji dan memastikan negara memenuhi syarat yang ditetapkan WHO.

“Ya, saya beranggapan kerajaan telah mengambil kira saranan WHO seperti kadar kebolehjangkitan pandemik Covid-19 yang rendah, bilangan kes aktif semakin berkurangan, kadar sembuh tinggi serta kesediaan negara dari segi kemudahan perawatan.

“Daripada pengamatan saya prestasi Malaysia dalam mengawal penularan wabak Covid-19 selama ini setanding dengan Korea Selatan dan ini sesuatu yang harus kita banggakan,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :