Seorang peniaga Nasrull Islam Nasir sedang mengemas kedainya yang menjual busana sambil menunggu pelanggan ketika tinjauan di Jalan Tuanku Abdul Rahman pada 6 Mei 2020. Foto BERNAMA
RENCANAWAWANCARA

PKP Bersyarat: Imbangi aspek kesihatan, ekonomi demi rakyat

Oleh Siti Baaqiah Mamat

KUALA LUMPUR, 7 MEI: Keputusan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan membenarkan hampir semua sektor ekonomi dan sosial dibuka semula sejak Isnin lalu, menerima pelbagai reaksi daripada rakyat.

Langkah kerajaan mendapat reaksi positif kerana ia memberi peluang kepada rakyat untuk kembali bekerja dan menjana pendapatan, sekali gus merancakkan semula ekonomi negara yang terjejas susulan PKP sejak 18 Mac yang memaksa sebahagian besar penduduk di negara ini berada di rumah bagi mengekang wabak Covid-19.

Bagaimanapun, wujud perasaan bimbang dalam kalangan masyarakat terhadap penularan Covid-19 walaupun PKP terbukti berjaya mengurangkan wabak itu di negara ini.

Pakar ekonomi bebas Dr Baayah Baba berkata keputusan kerajaan membenarkan sektor ekonomi tertentu beroperasi semula secara terkawal dapat membantu rakyat di akar umbi memulihkan semula mata pencarian mereka yang terjejas akibat Covid-19 dan PKP.

Beliau berkata sekiranya kerajaan tidak membuka sektor ekonomi, kesan jangka panjang banyak pihak akan terjejas antaranya rakyat kemungkinan kehabisan wang simpanan, syarikat tidak lagi dapat menjana pendapatan kerana kehilangan sumber dan golongan peniaga kehilangan modal.

“Malah kerajaan juga tidak lagi berupaya memberi bantuan yang sewajarnya kepada rakyat kerana peruntukan yang boleh dikeluarkan mungkin turut terjejas akibat pembangunan ekonomi yang lemah,” katanya kepada Bernama.

Malah Baayah berkata keputusan membuka sektor ekonomi secara beransur-ansur juga dapat membantu kerajaan dan Kementerian Kesihatan (KKM) mengawal penularan Covid-19 yang tidak dijangka di kemudian hari.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Perutusan Khas Hari Pekerja 2020 pada 1 Mei berkata Malaysia kerugian sekitar RM2.4 bilion setiap hari sepanjang tempoh PKP dilaksanakan.

Muhyiddin berkata jumlah kerugian ketika itu dianggarkan sekitar RM63 bilion dan jika PKP berterusan untuk tempoh sebulan lagi, negara akan kerugian RM35 bilion lagi menjadikan jumlah keseluruhan kerugian RM98 bilion.

Hakikatnya, walaupun banyak sektor ekonomi dan sosial telah dibuka, bukan bermakna kerajaan tidak melihat kepada kepentingan untuk turut melindungi rakyat dalam aspek kesihatan ketika Covid-19 masih lagi menjadi wabak yang cukup digeruni di peringkat global.

Oleh itu, pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) KKM amat penting dan rakyat perlu mengamalkan normal baharu dalam kehidupan mereka ketika ini dengan penekanan penting adalah mengelakkan perhimpunan besar-besaran dan duduk di rumah jika tiada keperluan untuk keluar.

Dalam mengimbangi aspek kesihatan dan ekonomi, Pakar Kesihatan Pekerjaan dan Doktor Kesihatan Am Hospital Kasih Cyberjaya, Dr Hanafiah Bashirun berkata orang ramai yang tidak mempunyai keperluan berada di luar, perlu terus duduk di rumah kerana tujuan kelonggaran diberikan ketika ini adalah untuk memulihkan serta menjana ekonomi dan bukan tujuan bersosial.

Katanya rakyat perlu memainkan peranan penting dalam memastikan SOP yang ditetapkan KKM dipatuhi sepenuhnya dan perlu berdisiplin selain berusaha melindungi diri dalam tempoh PKPB ini dengan mengamalkan penjarakan sosial, kerap membasuh tangan dan memakai pelitup muka ketika berada di tempat kerja seperti dinasihati KKM.

Malah majikan perlu berusaha menyediakan tempat kerja yang bersih dan dilengkapi dengan cecair pembasmi kuman di kawasan yang sering disentuh termasuk di pemegang pintu, tangga, kaunter dan lif.

Dr Hanafiah turut mencadangkan waktu kerja anjal kepada kakitangan selain mengadaptasi bekerja dari rumah yang menjadi normal baharu sejak PKP dilaksanakan.

“Majikan perlu kurangkan jumlah kakitangan kepada hanya separuh daripada mereka dibenarkan datang ke pejabat dan separuh bekerja dari rumah atau bergilir. Adaptasi normal baharu ini dapat membantu ekonomi terus pulih secara beransur-ansur tanpa mengabaikan kesihatan pekerja secara keseluruhannya,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :