Sekatan jalan dilakukan polis dan tentera berikutan Perintah Kawalan Pergerakan di Seksyen 7, Shah Alam pada 10 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PKP Bersyarat: Kenderaan persendirian dibenar bawa maksimum empat orang

KUALA LUMPUR, 3 MEI: Kerajaan memutuskan untuk membenarkan kenderaan persendirian membawa empat penumpang dengan syarat mestilah dari rumah dan keluarga yang sama, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai esok.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kebenaran itu diberikan berikutan isu jarak sosial tidak timbul dalam kalangan keluarga dan mereka yang tinggal serumah.

“Kerajaan memutuskan membenarkan untuk kenderaan persendirian maksimum empat orang tetapi mesti daripada keluarga yang sama dan rumah yang sama.

“Namun saya percaya ada yang cuba membawa kawan dan jika didapati ingkar, tatacara operasi piawai mesti dipatuhi, sesiapa yang melanggarnya akan dikenakan tindakan,” katanya dalam sidang media harian mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini, hari ini.

-BERNAMA


Pengarang :