Antara premis perniagaan yang ditutup susulan Perintah Kawalan Pergerakan di sekitar Kajang pada 18 Mac 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PKP Bersyarat: Selangor beri taklimat lihat kesediaan PBT pantau operasi

SHAH ALAM, 2 MEI: Selangor akan mengadakan taklimat esok bagi melihat kesediaan pihak berkuasa tempatan (PBT) memantau beberapa sektor utama sebelum membenarkan operasi bermula Isnin ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah itu bagi memastikan premis mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) bagi mengelakkan kewujudan kes atau kluster Covid-19 baharu.

“Banyak ruang lingkup tugas dan kerja di bawah PBT. Kita akan menentukan kesediaan itu dan berapa peratus boleh membuka keseluruhan operasi dan sektor dibenarkan.

“Jika kita benarkan dengan SOP tetapi tidak dipantau dengan baik, ia akan menimbulkan kekacauan dan mungkin mewujudkan kes dan kluster baharu. Kita cuba elakkan hal tersebut,” katanya yang ditemui selepas mesyuarat sidang khas di Bilik Gerakan Covid-19 Selangor hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dilaksanakan bermula 4 Mei bagi membolehkan sebahagian sektor ekonomi dan sosial dibuka semula.

Antaranya kebenaran operasi restoran dengan mematuhi SOP Majlis Keselamatan Negara dan aktiviti sukan luar tidak melebihi 10 orang dengan mengamalkan penjarakan sosial.


Pengarang :