Anggota tentera mengawal kawasan di Selayang Baru, Gombak yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan pada 1 Mei 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PKP Bersyarat: Tentera fokus bantu polis kuat kuasa pematuhan SOP

KUALA LUMPUR, 8 MEI: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) masih terus memberi fokus membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan penguatkuasaan pematuhan terhadap tatacara operasi piawai (SOP) sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Panglima ATM Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata pihaknya juga masih membantu dalam pelaksanaan sekatan jalan raya (SJR) dan rondaan bersama PDRM.

“Pada peringkat permulaan (Perintah Kawalan Pergerakan) sehingga PKPB, penglibatan utama ATM masih membantu PDRM melalui pelaksanaan sekatan jalan raya dan rondaan bersama,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Pada Selasa, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata 15 agensi kerajaan termasuk ATM; Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM); Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM); Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela); dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) diberi kuasa untuk pelaksanaan pematuhan serta penguatkuasaan sepanjang PKPB.

Pendekatan yang akan diambil pasukan berkenaan adalah untuk memberi nasihat kepada orang ramai dan sektor industri serta memberi amaran jika tahap pematuhan masih tidak memuaskan.

Dalam perkembangan lain, Affendi berkata ATM dengan kerjasama semua agensi keselamatan akan memperkukuh dan memperketatkan kawalan di sepanjang persempadanan negara dalam tempoh PKPB bagi membendung penularan pandemik Covid-19.

Menurutnya, operasi kawalan sempadan yang diperketatkan di daratan dan perairan negara telah dilaksanakan susulan arahan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 10 April lepas, supaya kawalan di setiap pemerintahan darat, laut dan udara berada pada tahap tinggi.

“Arahan ini dikeluarkan bagi mengelak pendatang tanpa izin membolosi sempadan negara melalui ‛lorong tikus’ sekali gus menyebabkan pandemik Covid-19 masuk (ke negara ini) dan wujudnya kluster baharu,” katanya.

Jelasnya, operasi kawalan sempadan bukan tugas tambahan kepada warga ATM kerana kerana ia sudah dilaksanakan sejak sekian lama dalam menjaga perbatasan persempadanan daratan dan maritim negara.

“Cuma, kali ini (PKPB) tahapnya dipergiat atau diperketatkan operasinya yang akan diselaraskan oleh ATM dengan kerjasama padu daripada semua agensi keselamatan dan penguat kuasa undang-undang daratan serta maritim,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :