Kelihatan aliran trafik yang sesak sebelum melepasi sekatan jalan raya Ops Lancar 2020 di Tol Sungai Besi pada 27 Mei 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PKP Bersyarat: Tiada beza kluster ‘kayangan dan bumi’

PUTRAJAYA, 27 MEI: Sesiapa sahaja yang didapati melanggar tatacara operasi piawai (SOP) ketika sambutan Aidilfitri sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dikenakan tindakan sewajarnya.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tidak mengira golongan kenamaan mahupun rakyat biasa, segala SOP ditetapkan adalah sama dan terserah kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengenakan tindakan ke atas mereka yang didapati melakukan kesalahan itu.

“Tiada bezanya antara kluster kayangan (kenamaan) dan bumi (rakyat biasa), sesiapa yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan oleh penguat kuasa ketika sambutan Aidilfitri sepanjang PKPB,” katanya pada sidang media harian PKPB di sini, hari ini.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Bangunan Perdana Putra pada 27 Mei 2020. Foto BERNAMA

Beliau diminta mengulas mengenai segelintir golongan kenamaan dan bangsawan yang berkongsi gambar di media sosial ketika menyambut perayaan Aidilfitri, tetapi melanggar SOP melibatkan jarak sosial dan jumlah tetamu ketika aktiviti ziarah.

Sementara itu, Ismail Sabri turut ditanya mengenai kebenaran bekerja bagi kesemua Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) di sekolah.

Jelasnya, seperti penjawat awam lain yang diarahkan bekerja, AKP yang merupakan kakitangan di sekolah sudah diarahkan untuk bekerja di pejabat.

“Mereka ini pekerja sokongan seperti kerani… apabila Ketua Setiausaha Negara mengumumkan bahawa jabatan kerajaan boleh mula dibuka dan kakitangan kerajaan boleh mula bekerja, jadi AKP ini adalah sebahagian daripada kakitangan awam,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan sejak 27 April sehingga hari ini, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sudah menghantar pulang 53,785 pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang berada di kampus ke pangkuan keluarga masing-masing.

“Semalam (26 Mei), KPT menghantar pulang 1,144 pelajar melalui empat penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu.

“Hari ini, seramai 584 pelajar akan dihantar pulang ke kampung halaman masing-masing melalui dua penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu,” katanya.

Beliau berkata KPT akan memastikan semua pelajar yang terlibat dalam pergerakan pulang ke kampung halaman untuk menjalani ujian swab sebelum diterbangkan pulang.

-BERNAMA


Pengarang :