Seorang penguat kuasa KPDNHEP Selangor memeriksa tanda harga ikan di Pasar Awam Kajang pada 13 Mei 2020. Foto Facebook KPDNHEP Selangor
SELANGOR

PKP: KPDNHEP Selangor periksa 5,506 premis, 136 kena tindakan kompaun

SHAH ALAM, 19 MEI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor mengeluarkan kompaun berjumlah RM79,650 dengan nilai rampasan RM2,411.30 sepanjang lima fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu.

Jumlah itu hasil daripada laporan tindakan terhadap 136 kes hasil pemeriksaan 5,506 premis.

“Jumlah kes tertinggi direkodkan pada fasa empat PKP sebanyak 51 kes hasil pemeriksaaan 1,930 premis dengan nilai rampasan RM2,049.75 serta kompaun RM43,500,” kata agensi berkenaan di Facebook.

Berdasarkan laporan mingguan barangan keperluan asas dan penguatkuasaan sepanjang minggu bagi tempoh 10 hingga 16 Mei, Shah Alam mencatatkan jumlah aduan tertinggi sebanyak 33.79 peratus daripada keseluruhan 239 aduan diikuti Petaling Jaya 29.69 peratus dan 15.02 peratus di Kajang.

Sepang merekodkan 10.92 peratus aduan diikuti Gombak (4.78 peratus), Kuala Selangor (3.41 peratus) dan Kuala Kubu Bharu (2.39 peratus).

KPDNHEP Selangor memaklumkan hanya satu tindakan kes diambil hasil pemeriksaan pasar awam pelbagai akta terhadap 1,791 premis dengan nilai kompaun RM1,000.

“Pemeriksaan cecair pembasmi kuman dijalankan di 68 premis dengan bilangan 31,714 unit. Bagi laporan topeng muka pula terdapat 162 aduan diterima membabitkan lima kes dengan nilai rampasan RM1,936.60 serta kompaun berjumlah RM30,000,” katanya.


Pengarang :