Sekatan jalan raya oleh anggota polis bersama pasukan Rela di Seksyen 24, Shah Alam pada 16 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PKP masih berkuat kuasa, tindakan diambil jika ingkar

SHAH ALAM, 2 MEI: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih terus dilaksanakan walaupun PKP Bersyarat (PKPB) akan bermula Isnin ini, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Akta 342 iaitu Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 masih lagi berkuat kuasa dan tindakan boleh diambil terhadap individu yang ingkar arahan berkenaan.

“Kita tidak tarik balik PKP dan bukan bermakna dengan pelaksanaan PKPB, tidak ada akta lagi yang mengikat rakyat untuk patuh setiap arahan.

“Ia selari dengan pengumuman awal kerajaan iaitu memberi kelonggaran demi kelonggaran kepada sektor tertentu untuk beroperasi. Misalnya, premis perniagaan dibenar beroperasi sehingga 10 malam dengan jumlah pekerja hanya 50 peratus daripada pekerja sebenar,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata kerajaan menyediakan tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat dan tidak akan berkompromi terhadap premis yang didapati melanggar syarat ditetapkan.

“Ini kerana kelonggaran kawalan pergerakan (PKPB) yang dilaksanakan bagi membolehkan rakyat menjana semula pendapatan mereka,” katanya.


Pengarang :