AGENDANASIONAL

PKPB: 22 termasuk Datuk dikompaun berkumpul makan durian

BALIK PULAU, 31 MEI: Beberapa orang kenamaan termasuk yang bergelar Datuk antara 22 individu dikompaun RM1,000 kerana mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan berkumpul makan durian di sebuah tapak menjual raja buah itu di Sungai Pinang, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan A A Anbalagan berkata sepasukan polis yang sedang menjalankan rondaan di kawasan itu pada 6.30 petang ternampak sekumpulan individu sedang duduk berhimpun dan makan durian di situ.

“Semasa polis tiba di tapak menjual buah durian itu, ada dalam kalangan mereka cuba melarikan diri dan kami mengarahkan mereka untuk duduk semula di kerusi masing-masing. Pemeriksaan mendapati 21 daripada mereka termasuk dua wanita sedang berhimpun di situ serta ada antaranya sedang makan durian.

“Pemeriksaan lanjut mendapati ada dalam kalangan mereka adalah ahli perniagaan terdiri daripada orang kenamaan malah bergelar Datuk. Semua mereka merupakan orang tempatan,” katanya di sini malam tadi.

Berikutan itu, beliau berkata kesemua 21 individu berusia 30 hingga 64 tahun itu dan penjual durian berumur 54 tahun masing-masing dikompaun RM1,000 setiap seorang kerana ingkar PKPB.

– BERNAMA


Pengarang :