Pelanggan membeli makanan bungkus di Restoran L&S Food Corner, Bandar Baru Ampang ketika tinjauan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan pada 22 Mac 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

PKPB Diubahsuai langkah tepat, tidak jejas ekonomi

SHAH ALAM, 5 MEI: Langkah Kerajaan Negeri melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Diubahsuai (PKPBD) adalah tepat dan tidak menjejaskan sektor ekonomi, kata EXCO kerajaan tempatan.
Ng Sze Han berkata beberapa perubahan garis panduan dilakukan PKPBD jelas mengambil kira semua faktor serta mengutamakan keselamatan orang awam.
“Sebagai contoh tindakan Kerajaan Negeri tidak membenarkan makan di restoran mampu mengurangkan risiko penularan Covid-19,” katanya merangkap Ahli Dewan Negeri (ADN) Kinrara.
Manakala ADN Sekinchan berkata PKPBD amat membantu dan bersesuaian dengan perkembangan semasa.
“Hal ini kerana rakyat masih tidak yakin dengan langkah kerajaan Persekutuan menangani wabak pandemik dengan memberi terlalu banyak kelonggaran ketika tempoh PKP Bersyarat,” kata Ng Suee Lim.
ADN Dusun Tua, Edry Faizal Eddy Yusof berkata PKPBD adalah jalan tengah terbaik memandangkan keperluan mendesak untuk menyelamatkan ekonomi dan mengambil kira keselamatan rakyat.
“Keseimbangan ini perlu memandangkan Selangor sebagai penyumbang utama Keluaran Dalam Negara Kasar namun pada masa sama tidak boleh terburu-buru membuka semua aktiviti ekonomi tanpa tatacara operasi piawai yang jelas,” katanya.

 


Pengarang :